BAB 10
AWAL Bazli bangun
pagi itu. Dia pandang sekeliling rumahnya, kini secara rasminya dia sudah
bergelar duda buat kali yang kedua. Tidak pernah dia terfikir akan menyandang
gelaran tersebut seawal itu sekali lagi! Masih ada rasa kesal dan menyesal,
tapi Bazli redha dengan apa yang menimpa dirinya, mungkin ada hikmah atas apa
yang berlaku itu. Dilihatnya gambar perkahwinannya dan Juwita yang tergantung
di dinding. Mahu saja gambar itu diranap dan dibakarnya, tapi ianya bukan
semudah itu.
Ibu dan ayahnya
selalu datang makan malam ke kondo itu. Malah, minggu lepas dia dan Juwita
terpaksa bersepakat pura-pura bahagia dan gembira di dalam rumah itu di hadapan
kedua ibu bapanya semasa makan malam bersama, siap memberitahu mereka bakal
melancong ke luar negara sekali lagi untuk bulan madu kedua. Entah, Bazli sendiri
tak tahu bagaimana nanti dia mahu memberitahu orang tuanya tentang hal
penceraian mereka. Baik dirinya dan Juwita, masing-masing masih belum bersedia
membongkar apa yang terjadi. Bagaimana mungkin mereka mampu melukakan hati
orang tua masing-masing. Pasti mereka akan berasa sangat kecewa dengan mereka
berdua apatah lagi keluarga itu bersabahat sebelum mereka lahir ke dunia lagi.
Jangan kerana mereka persahabatan antara dua keluarga itu retak dan putus.
Bila kutunggu jawapanmu..
Masihkah aku ada dihatimu..
Saat ini..
Telefon bimbit
Bazli berbunyi. Diangkatnya panggilan telefon itu.
“Helo Bazli. Awak
kena bertugas ke Sydney petang ni, ada krew yang ada kecemasan cuti.” Rashid, pegawai petugas penerbangan
mereka memberitahu.
“Okay. Report duty
jam berapa ya?” tanya Bazli.
“Jam 5 petang.”
Rashid memaklumkan.
“Okay, jumpa di
sana.”
Bazli lega,
daripada bosan di rumah seorang diri, baik dia kerja, lagipula kadang-kadang
berada di awan biru itu sekali sekala dapat menenangkan fikirannya yang kusut.
Dilihatnya jam di dinding, baru masuk jam 9 pagi.
“Keluar dululah.
Lapar juga ni.” Bazli ambil kunci kereta dan terus pandu ke tempat yang dia
selalu pergi.
Semasa memandu,
baru dia ingatkan Adam Lee. Segera dia ambil telefon bimbit dan hubungi Adam
Lee selepas mereka bertukar nombor telefon semalam, manalah tahu Adam Lee
tengah ada masa tu, bolehlah mereka lepak sama.
“Helo.”
“Helo Adam. Bazli
ni, awak lapang tak?” tanya Bazli.
“Adam dekat
pejabat ni. Kenapa?” tanya Adam Lee pula.
“Oh, baru nak ajak
awak keluar makan. Tak apalah, mesti awak tengah sibuk tu.”
“Lain kali ya.
Lain kali bagi tahu aku awal-awal.”
“Okay. Kau
macamana? Dah okay?” sempat Bazli bertanya.
“Setakat ni waras
lagi, tapi adalah juga serabut tengah fikir banyak benda. Datang pejabat ni pun sebab ada benda penting nak kena
selesaikan. Ikutkan hati, nak bercuti berbulan-bulan...” jawab Adam Lee panjang
lebar.
“Jangan difikirkan
sangat. Kalau ada masalah tu, buatlah Solat Isthikharah, Insya-Allah ada
petunjuk,” pesan Bazli.
“Insya-Allah,
terima kasih tau ingatkan saya.”
“Okay, aku letak
telefon dulu. Jaga diri, ada apa-apa nak minta tolong hubungi saja aku...”
“Okay bro.
Assalamualaikum..”
“Wa’alaikumsalam.”
Bazli matikan
telefon bimbitnya. Lega juga dia bila dapat tahu Adam Lee sudah tenang, takut
rasanya bila Bazli ingatkan Adam Lee yang berteriak kuat semalam. Sebagai
kawan, apa yang dapat dibantunya hanyalah memberi kata semangat.
Lebih kurang
setengah jam kemudian, Bazli sampai ke restoran kegemarannya. Jauh jugalah dari
rumahnya. Tapi kerana dia memang suka makan char keow tiau restoran itu, soal
jauh bukan halangan, yang penting dia puas dapat makan enak. Semasa sedang
menunggu pesanan, dia ternampak seseorang di luar. Macam Kasih, segera dia
keluar dari situ sebab dia nampak Kasih macam tergesa-gesa.
“Encik, tolong
batalkan pesanan saya tadi ya.” Bazli memberitahu pekerja di kaunter dan segera
keluar.
Dia toleh ke arah
Kasih berjalan tadi, dia nampak belakang Kasih yang laju saja berjalan.
“Kasih!” jerit
Bazli tapi memandangkan kedudukan Kasih yang jauh, mana mungkin dia
mendengarnya. Segera Bazli mengejarnya.
Bazli toleh ke
kanan, kemudian ke kiri, dia tak nampak kelibat Kasih.
“Pergi!!” Kasih
bersedia dengan kayu pemukul.
Terkejut Bazli
apabila melihat Kasih bertindak sedemikian.
Bazli mengelak setapak
ke belakang, “Kasih, kenapa ni?” tanya Bazli.
Raut wajah Kasih
agak ketakutan, “Maaf Bazli, ingatkan Sufian tadi..” Kasih meminta maaf.
“Siapa Sufian?
Kenapa awak nampak takut sangat ni?” tanya Bazli.
Mata Kasih masih
meliar ke sekeliling, “Sufian, bekas tunang saya. Tadi saya baru terserempak
dengan dia, tu yang saya tergesa-gesa. Dia tu panas baran sikit orangnya, tadi
dia kejar saya.” Kasih memberitahu.
Bazli geleng
kepala, “Dia tak ada hak buat awak macam tu.” Bazli memberitahu.
“Siapa kata tak ada
hak hah?!” jerkah seseorang di belakang mereka.
Kasih bersembunyi
di belakang Bazli, “Bazli, hati-hati!” Kasih menjerit kerana Sufian mahu
menyerangnya.
Nasib baik Bazli
sudah bersedia. Mereka berundur.
“Kau jangan ganggu
tunang aku! Kasih, ikut aku!” marah Sufian memandang Kasih.
Bazli cuba
diplomasi, dia pandang lelaki bernama Sufian itu, “Kau jangan paksa dia, dia tu
perempuan.” Bazli membalas.
Tajam mata Sufian
memandang Bazli, “Kau jangan masuk campur urusan kami. Kasih tu bakal isteri
aku! Tepi!” Sufian mendekati dan cuba menarik tangan Kasih.
Bazli tiba-tiba
memegang tangan Kasih erat, “Kau jangan ganggu dia!” jerkah Bazli.
Sufian berang, “Aku
dah kata jangan masuk campur urusan kami!”
Sufian melayangkan
penumbuknya, Bazli mengelak dan pantas menumbuk perut Sufian sehingga senak.
Sufian berundur hingga terjatuh.
“Ingat Kasih,
urusan kita belum selesai!” Sufian segera pergi daripada situ.
Bazli segera
melihat Kasih, “Kasih, awak tak apa-apa?” tanya Bazli bimbang.
“Tak. Saya okay.
Terima kasih Bazli, hmm.. boleh lepaskan tangan saya?” Kasih berterima kasih.
“Err.. maaf..”
Bazli terus lepaskan tangan Kasih.
Kasih geleng
kepala, kesal atas apa yang baru terjadi, “Maaf menyusahkan awak. Awak tak
apa-apa kan?” tanya Kasih.
“Tak, saya okey.
Apa awak buat dekat sini?” Bazli bertanya kembali.
“Saya pergi
masukkan duit tadi. Sengaja masukkan jauh sikit. Tiba-tiba saya terserempak
dengan Sufian depan bank, terus saya lari. Saya tahu, dia ekori saya tadi.”
Kasih memberitahu.
“Kalau awak tak ke
mana-mana lagi. Saya hantar awak balik ya?” tanya Bazli.
“Hmm.. tak apalah,
saya boleh naik teksi saja. Menyusahkan awak pula, rumah saya jauh dari sini.”
Kasih segan.
“Nanti Sufian tu
kacau awak lagi macamana? Boleh ya?” tanya Bazli lagi.
Kasih tak ada
pilihan, “Ermm, baiklah,” terpaksa Kasih setuju, mereka berdua menuju ke kereta
Bazli. Bazli pandu keluar ke jalan raya.
“Rumah awak dekat
mana?” tanya Bazli.
“Dekat area Wangsa
Maju.”
“Sufian tu orang
Sabah juga ya?”
“Haah. Tapi dah
lama kerja dekat sini. Dialah yang rekomen kerja untuk saya dekat hotel dulu.
Sebenarnya tahun lepas kami dah rancang nak kahwin. Sekali tu saya ke rumah
dia, saya nampak seorang perempuan dalam rumah tu, katanya adik angkat tapi
saya tak percaya. Tu yang saya minta putus. Tapi tulah, macam yang awak nampak
tadi, dia masih paksa saya terima dia...”
“Awak tak takut
dia apa-apakan awak?” tanya Bazli lagi.
Kasih seakan berat
menceritakan kisahnya, “Saya kenal Sufian tu dari kecil lagi, kami kawan
sekampung. Dia takkan apa-apakan saya. Cuma tulah, dia memang nampak garang
sikit,” jawab Kasih.
Bazli pelik, “Jadi,
kenapa awak lari bila nampak dia?” tanya Bazli lagi umpama wartawan tak
bertauliah.
“Saya malas nak
dengar dia minta saya balik dengan dia. Saya dah muak, entah nak guna bahasa
apalagi nak bagi dia faham, tu yang saya lari tu... kalau dulu, hari-hari dia
datang tempat kerja saya.”
“Awak kena
hati-hati. Saya tengok dia tu agresif sangat, kalau ada apa-apa lapor polis
terus,” pesan Bazli.
“Tak apa, tahulah
saya nak handle benda ni.”
“Awak tetap kena hati-hati
dengan orang macam tu. Lupa pula, petang nanti saya ada flight ke Sydney. Awak ada flight
ke sana?” tanya Bazli.
“Saya kan masih
baru. Lepas setahun atau beberapa bulan nanti baru bertugas kat untuk
penerbangan antarabnagsa. Seronoknya dapat ke Sydney. Saya tak pernah pergi
luar negara.” Kasih tiba-tiba girang.
Bazli senyum
sendiri, “Nanti, awak akan terbang ke sana sampai awak bosan. Percayalah cakap
saya. Ha, sekarang ni musim bunga dekat Sydney. Ada bunga lavendar, cantik...”
Bazli berkata teruja.
Kasih teruja bila
orang cakap pasal bunga, “Lavendar. Boleh tak bawa untuk saya?” pinta Kasih.
Tiba-tiba Kasih
segan, dia terlepas cakap. Dia tiada hak nak minta itu ini dengan Bazli, mereka
hanya kawan biasa cuma.
Bazli senyum, “Insya-Allah.
Nanti saya bawakan,” spontan Bazli setuju. Kasih tersenyum.
Kemudiannya, Kasih
pandang Bazli yang memandu. Lagu ‘Kisah Hati’ menjadi pengiring halwa telinga
mereka. Memandang lelaki itu, Kasih rasa tenang sangat. Kenapalah Sufian bekas
tunangnya itu tak macam Bazli. Kasih terfikir-fikir, apa mungkin semua ini
kebetulan. Kenapa Bazli tiba-tiba ada semasa dia perlukan seseorang. Ah! Kasih
bukannya jenis yang terlalu mengharap, dia sedar dirinya siapa. Meskipun sejak
pertemuan pertama, Kasih sudah merasakan sesuatu pada lelaki itu. Tapi, mana
mungkin dia tega merampas suami orang.
Bazli pandang
sekeliling, “Kasih, mana satu kawasan rumah awak?” tanya Bazli membubarkan
lamunan Kasih sebaik mereka sampai ke tempat yang ditunjukkan Kasih sepanjang
perjalanan tadi.
“Yang apartment dekat
depan tu, awak masuk lagi,” jawab Kasih.
Segera Bazli
memandu menuju ke arah yang ditunjukkan Kasih dan berhenti di sana, Bazli lihat
apartment 10 tingkat itu.
“Terima Kasih Bazli.”
Kasih berterima kasih.
“Sama-sama, jaga
diri, ada apa-apa hubungi saya,” pesan Bazli.
Bazli beredar dari
situ. Kasih pandang kereta Bazli sampai kereta itu hilang dari pandangannya. Sementara itu, Bazli
tiba-tiba rasa lapar sangat. Baru dia teringat, dia belum sentuh satu makanan
atau minumanpun tadi. Lagipula tadi baru jadi keluang man, adalah lapar sikit
agaknya sebab berlawan tadi. Segera Bazli ke restoran berdekatan dan tapau
makanan balik ke rumahnya.
*********************
“Betul ke cara
Dahlia tu? Dahlia tak makan hati? Dahlia rela?” tanya Puan Sofia kepada
anaknya.
Dahlia berpeluk
tubuh, “Itu saja caranya mak. Dahlia pasrah, ini semua takdir.” Dahlia
memandang wajah ibunya.
Puan Sofia pandang
anaknya yang masih keliru itu, “Tak apalah. Mak hormat keputusan kamu. Tapi,
mak minta jagalah diri tu elok-elok, kamu ada sesi temujanji lain lagi kan?”
“Haah mak. Tak apa,
Dahlia okay. Semua ni untuk Aiman mak, Dahlia tengok dia dah tak macam dulu.
Mungkin rindukan papa dia agaknya. Kebetulan terjadi perkara macam ni, mungkin
ada hikmahnya...” Dahlia seakan pasrah.
Puan Sofia usap
tangan anaknya itu, “Dahlia kena kuat nak. Demi Aiman, demi Adam Lee. Mak tahu,
kamu dah bersedia, sebab tu kamu mahu Adam Lee nikah dengan perempuan lain.”
Puan Sofia memandang anaknya itu dalam.
“Ya mak. Biarlah
nanti orang yang menjaga Aiman ni orang yang Dahlia kenal.”
Puan Sofia sebak, “Mungkin
semua ni takdir. Sekurang-kurangnya kamu tak perlu bersembunyi di rumah mak.”
“Mak rasa
keputusan Dahlia ambil ni bagus tak untuk abang Adam?” tanya Dahlia pula.
Puan Sofia menarik
nafas, “Tak apa, suatu hari nanti dia akan faham. Kamu dah buat yang terbaik
untuk dia. Lagipun, kamu akan berada di sisi dia. Sekurang-kurangnya kamu tak
perlu minta cerai semua tu. Kamu kena yakin dengan keputusan kamu. Adam mungkin
sukar nak terima apa yang kamu cadangkan, tapi demi kamu mak yakin yang dia
akan setuju.” Puan Sofia memberikan keyakinan.
“Dahlia pun
harapkan perkara yang sama. Krook...”
tiba-tiba Dahlia rasa mahu termuntah dan tak sedap badan. Segera dia berlari ke
bilik air.
“Dahlia, kamu tak
apa-apa nak?” tanya Puan Sofia.
Dahlia pegang
kepalanya, “Dahlia okay mak, entah kenapa sejak akhir-akhir ni Dahlia asyik
rasa nak muntah dan pening...” jawab Dahlia.
Puan Sofia
terkejut, kemudian ada sekilas senyuman dibibirnya. Tapi, bila Puan Sofia
teringat hal itu, senyumannya itu kendur kembali, air matanya menitis tapi
disembunyikan dari pandangan Dahlia.