~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Saturday 1 February 2014

NOVEL GAUN CIK BOS TUXEDO MR SECRETARY (BAB 10)


BAB 10

“Sari Berita Utama, mayat dua orang lelaki ditemui berhampiran hutan di Bidor Perak. Identiti dua mangsa itu tidak dapat dikenal pasti akibat rosak teruk kerana dipercayai dibaham binatang buas. Sehubungan itu, kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga atau mengenali mangsa diminta dapat memberikan kerjasama kepada pihak polis dengan menghubungi nombor yang tertera di kaca televisyen anda.”
“Ni mesti malaun dua ekor ni. Kau orang berdua pergi bunuh orang tapi kau orang pula terbunuh. Memang tak guna!” marah seorang lelaki yang menonton berita di kaca televisyen di depannya.
Segera dimatikannya televisyen, geram barangkali.
“Ada kemungkinan dia tu masih hidup, kalau tidak mesti pihak polis dah  jumpa. Tak mungkin yang kena baham tu dia, sebab ada dua orang. Dan mereka tu pun dah hilang seminggu, confirm bukan dia, dia masih bebas!” tebak lelaki tersebut kerana dia sudah puas menghubungi orang yang dipertanggungjawabkan untuk membunuh itu.
Pantas dicapainya telefon bimbit yang masih bercas kerana kehabisan bateri tadi dan dihubunginya seseorang. Dia perlu cepat menghubungi orang tersebut bagi menyiasat sesuatu, tempoh seminggu itu adalah tempoh yang sangat panjang. Mungkin juga orang tersebut terselamat dan sedang mencarinya. Pelbagai kemungkinan juga bermain-main di kepalanya.
Apabila sudah menghubungi orang tersebut, sejumlah wang juga perlu melayang bagi melunaskan kerja tersebut. Sekarang, bukan semuanya free, masuk tandas pun mesti bayar.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi.
“Helo?”
“Boss, yang mati tu memang Ali dengan Zam, dahsyatnya boss..” salah seorang orang suruhannya memberitahu.
Pantas lelaki itu mematikan telefon bimbitnya. Dia tidak mahu mendengar alasan. Apa yang dia mahu dengar adalah berita yang baik-baik sahaja. Perkataaan gagal tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Apapun, panggilan telefon itu memang melegakannya kerana dia tidak perlu berteka teki, memang dia perlu mengupah seseorang bagi menjejaki di mana orang yang dibunuhnya berada. Dan, dia mesti cepat! Sebelum orang itu melakukan sesuatu. Pelbagai anggapan tergambar dalam kotak fikirannya.
Kring! Kring!
Telefon rumah pula berbunyi. Lelaki itu tidak senang.
“Helo. Saya dah kata cari dia cepat!” marah lelaki itu sebaik mengangkat telefon.
“Ayah ni.”
“Ayah, kenapa ayah call? Ingatkan orang saya tadi.”
“Saja tanya khabar. Macamana dengan kamu sekarang?”
“Saya okey ayah, janganlah risau. Ayah tu yang kena jaga kesihatan.”
“Okey. Ayah letak telefon dulu. Bye.”
Bye ayah, jangan lupa makan ubat tu. Hujung minggu nanti saya balik.”
Lelaki itu meletakkan gagang telefon, hatinya masih marah. Semua itu perlu diselesaikan cepat, dia tidak mahu ada gangguan selepas ini.
************
ADAM berada di rumah sewanya, lega hatinya sedikit mendapat pekerjaan yang mampu menampung hidupnya dan Danish. Dilihatnya Danish yang sedang menonton kartun kegemarannya di kaca televisyen, elok dia duduk di sebuah sofa yang kelihatan sedikit lusuh. Pelik, meskipun Danish bukan sesiapa dan tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengannya tetapi dia terasa amat dekat dengan kanak-kanak lelaki tersebut. Mungkin juga kerana dia sudah berada dengan Adam terlalu lama. Pernah Adam terfikir untuk melaporkan Danish kepada pihak polis tapi dia sentiasa terfikir, benarkah tindakan yang diambilnya. Apa akan terjadi pada Danish nanti? Dan sebenarnya hati kecilnya mula berkata-kata bahawa dia sudah mula menyayangi Danish seperti anaknya sendiri, melalui Danish dia belajar mengenal erti hidup dan mengenal erti tanggungjawab.
“Papa, Danish lapar.”
Suara Danish membubarkan lamunannnya. Hujung minggu begitu, Adam selalunya akan memasak untuk mereka berdua, tidaklah expert mana, tapi bolehlah. Kalau takat Masterchef Malaysia tu memang dia tak layak masuk.
“Danish lapar ya. Nanti papa masakkan Danish, Danish nak makan apa?” tanya Adam mesra dan memeluk Danish.
“Danish nak makan ayam goreng,” pantas budak lelaki itu menyuarakan hasaratnya.
“Ayam goreng ya?” sekejap Adam berfikir, bukannya apa, ayam goreng itu sudah terlalu mewah bagi mereka. Bukanlah terlalu miskin, tetapi Adam lebih suka berjimat.
‘Kalau beli dekat mamak 2 ringgit seketul, kalau beli ayam dan goreng sendiri mesti banyak lagi nak guna duit,’ gumam Adam, memang dia pantas memikirkan mana satu yang dia hendak beli, dia pun baru bekerja, gaji pun belum dapat, gaji dari menyanyi di restoran mewah itu pula tinggal separuh kerana membeli baju dan seluar bekerja.
“Danish tukar baju, kita makan kedai uncle mamak. Jom! Nak tengok boleh tengok bola sekali.” Adam senyum memandang anaknya.
“Yeay! Yeay!” sorak Danish sangat gembira.
“Kalau lambat papa tinggalkan ya,” sengaja Adam mengacah anaknya itu.
“Ala..” rajuk Danish.
“Cepatlah, pandai mandi sendiri kan?” Adam memandangnya.
“Papa tak mandi sekali ke? Papa belum mandi kan?” bijak betul Danish cuba memancing ayahnya yang satu itu untuk memandikannya.
“Papa dah mandilah,” sengaja Adam tidak mengaku.
Segera Danish ke arah Adam dan mencium baunya, rambutnya juga dilihat.
“Papa tipu!” segera Danish menarik tangan Adam menuju ke bilik mandi.
“Ya, ya... papa nak mandilah ni..” Adam senyum sendiri.
“Budak lelaki mana boleh mandi berdua. Mesti mandi sendiri, Danish janganlah susahkan makcik, kalau pandai mandi sendiri, Danish mandi sendiri ya,” sengaja Adam berpesan demikian supaya Danish pandai berdikari.
Danish yang sedia faham mengambil sabun dan menyabun badannya, kemudian kepalanya. Selepas itu terus mengayung air. Adam ketawa sendiri. Budak 3 tahun itu memang faham apa yang dimaksudkan Adam, tapi cara pelaksanaannya masih belum teratur. Sabun hanya diletak pada dada sahaja dia terus simbah air, rambut pula belum semua basah.
“Bukan macam tu, sini papa ajar,” segera Adam menunjukkan cara-cara untuk Danish menyabun badannya.
“Kemudian, ambil gayung dan..”
Plash!
Danish menyimbah papanya.
“Main kasar ya!” jerkah Adam segera menutup bilik mandi.
Disimbahnya Danish dengan sebaldi air, masing-masing ketawa sendiri.
Usai mandi, Adam mengambil pakaian di almari dan memakaikannya pada Danish. Danish senyum-senyum manja dan memeluk papanya.
“Papa, mama Danish mana? Ada gambar mama tak?” tanya Danish ingin tahu.
Tersentak Adam. Dia tahu, suatu hari nanti kanak-kanak lelaki itu akan bertanya juga soalan tersebut. Tapi, dia tidak menjangka seawal itu. Apa yang dia mahu jawab, gambar siapa pula yang mahu ditunjukkan.
“Mama berada di syurga, gambarnya tak ada, sebab mama dalam ni..” Adam meletak tangan Danish di dadanya.
Danish seakan faham dan tidak bertanya lagi. Biasalah kanak-kanak, sekejap tanya, sekejap itu pula dia lupa.
‘Maafkan papa Danish, mungkin mama atau papa Danish yang sebenar ada di luar sana, Insya ALLAH kalau diizinkan tuhan Danish akan jumpa juga,’ gumam Adam sendiri.
“Papa, dah lambat ni, Danish dah lapar.” Danish berkata.
“Okey, okey.” Adam faham, segera dia menutup lampu dan mengunci pintu lalu membawa Danish menuju ke lif.
“Nak ke mana ni Danish?” tanya Nadia yang baru keluar dari lif, baru balik dari kuliah agaknya.
“Papa bawa Danish makan ayam goreng,” jawab Danish selamba, girang sungguh apabila menyebut perkataan ayam goreng itu.
“Owh, ya ke? Kak Nadia nak ikut boleh?” tanya Nadia memandang Danish dan menjeling ke arah Adam.
“Boleh-boleh,” segera Danish menjawab, diangguk kepalanya.
Adam terdiam, dia memang selalu blur kalau depan perempuan. Nadia memandangnya, lagilah dia tergamam. Adam, Adam.
“Danish pergilah. Kakak dah makan.” Nadia mengusap rambut Danish dan senyum kepada Adam.
“Kami pergi dulu ya Nadia.” Adam meminta diri.
Nadia mengangguk senyum. Danish melambainya, Nadia melambai kembali. Jauh di sudut hatinya lelaki duda itu memang kacak, kadang-kadang dia juga ragu samada Adam pernah berkahwin sebab dia biasa mengenali duda-duda yang tidak seperti Adam. Kadang-kadang, dia suka kalau lelaki itu buat tak tahu atau blur seketika, terasa comel dipandang.

VIDS PROMO NOVEL


P/S ---> Novel telah pun terbit. Boleh mendapatkannya dengan Kaki Novel atau kunjungi Kedai Buku MPH & Popular Bookstore serta kedai berdekatan anda untuk mendapatkannya. :)

 

NOVEL GAUN CIK BOS TUXEDO MR SECRETARY (BAB 9)


                                                 BAB 9



AWAL pagi itu Aril menghubungi Dato’ Mazil ayah Khalisah mengenai hasratnya ingin memperisterikan Khalisah. Bagi Aril, semua itu harus dipercepatkan, dia takut kalau-kalau hati Khalisah berubah. Dato’ Mazil langsung saja bersetuju dengan hasrat Aril, baginya itu merupakan rahmat. Lagipula keinginannnya tinggi agar anak tunggalnya itu berkahwin dengan lelaki yang diharapkan seperti Aril sejak kematian isterinya beberapa tahun lalu. Arwah isterinya  juga berhasrat agar Aril mengahwini Khalisah. Dalam erti kata lain, bolehlah syarikatnya dan syarikat ayah Aril itu bergabung. Maklum, adiknya Dato’ Malik ayah Aril itu menjalankan bisnes yang lebih kurang sama dengan syarikatnya. Sebenarnya, ada juga Dato’ Mazil menyarankan pada anak angkat ayahnya itu untuk bergabung tapi belum ada alasan kukuh pula.
“Jadi, bila rombongan merisiknya nak datang?” tanya Dato’ Mazil.
“Mungkin bulan depan, jangan inform Khalisah ya uncle, biar jadi kejutan,” pinta Aril.
“Okey. Itu pasti,” janji Dato’ Mazil.
Usai meletak telefon, Dato’ Mazil memanjatkan syukur.
“Papa, sarapan pa.. Mak Jah dah siap buat kopi papa ni..” Khalisah memanggil ayahnya yang berada di tingkat atas.
“Ya, ya, kejap...”
Dato’ Mazil melangkah pantas menuju ke meja makan, di sana Khalisah sudah menunggu ayahnya untuk bersarapan bersama. Khalisah memandang ayahnya yang tersenyum sinis di meja makan.
“Papa senyum-senyum ni kenapa?” tanya Khalisah.
“Senyum kan sedekah, lagipun dah tua macam papa ni, lebih baik banyak bersedekah,” jawab Dato’ Mazil.
“Iyalah pa. Tadi papa terima panggilan siapa? Lama berbincang..” tanya Khalisah.
Pertanyaan Khalisah membuatkan Dato’ Mazil hampir tersedak kuih pau ayam kegemaran yang sedang dimakannya, tetapi kemudian ditenangkan diri agar tidak membuka rahsianya dengan Aril.
“Tak, tak ada apa-apa. Kawan papa dekat Johor, saja dia tanya khabar, jemput majlis kahwin anaknya.” Dato’ Mazil memberi alasan.
Khalisah dapat menebak sesuatu, ada juga rasa ingin tahunya. Tetapi dibiarkan saja rasa kesangsiannya itu, lagipun masih banyak yang perlu difikirkannya di syarikat.
Usai bersarapan, Khalisah terus keluar. Kereta Skyline miliknya dimasuki dan sedia untuk beredar. Meskipun bergelar boss di sebuah syarikat besar, Khalisah tidak menggunakan khidmat pemandu, dia tidak mahu digelar si malas yang duduk di kerusi belakang. Sambil memandu dan melihat kesesakan lalu lintas di Bandaraya Kuala Lumpur dia menekan punat radio. Nasib baiklah celoteh Usop Wilcha di Hot FM dalam segmen english education agak menghiburkan. Khalisah menunggu-nunggu juga kalau-kalau ada lagu kegemarannya diputarkan juruhebah. Memasuki lebuhraya Sprint, lagu kesukaan Khalisah dikumandangkan. Untuk menghilangkan tekanan akibat kesesakan jalan raya, Khalisah turut menyanyi lagu-lagu yang berkumandang, sekurang-kurangnya dapat menenangkan hati.
Setengah jam kemudian, Khalisah sampai ke syarikatnya. Apabila sampai ke pejabatnya, dia melihat Adam juga telah sampai. Rafida juga datang awal, Khalisah melihat mereka berborak, tapi kelihatan amat serius. Khalisah kemudian masuk dan menegur mereka.
“Wah! Macam bincang hal penting nampak?” tegur Khalisah.
“Cik Lisa ni, saya sedang ajar Adam kerja-kerja dialah.” Rafida menjawab.
“Selamat Pagi Cik Boss.” Adam menyapa tapi tidak dijawab Khalisah.
“Adam, masuk kejap, ada saya nak bincang, bawa semua dokumen yang Rafida bagi ya,” arah Khalisah, nampaknya tugas Adam akan bermula.
Adam masuk ke dalam bilik Khalisah. Wanita itu nampaknya sangat serius.
“Macamana dengan penerangan Rafida tadi? Lengkap? Secara ringkasnya, Syarikat Seria Holdings terlibat dalam bidang hartanah dan projek-projek perumahan, segala projek-projek kita bermula dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar. Dalam perniagaan ini, semua peluang harus diambil, awak faham-fahamlah persaingan pasaran sekarang.” Khalisah menerang lagi panjang lebar.
“Saya faham Cik Boss. Rafida dah explain semuanya,” jawab Adam.
“Okey. Jam 11 nanti awak temankan saya ke tapak projek.” Khalisah memberi arahan.
Adam memandang Khalisah. “Tapak projek? Untuk apa Cik Boss?” tanya Adam.
“Kenapa tanya? Awak nak kerja dekat tapak projek tu ke? Awak ikut sajalah, jangan banyak bunyi. Sekarang, ambil ni, saya nak awak photocopy semua dokumen ni buat 11 set ya,” arah Khalisah.
‘Ish perempuan ni, nak cekik rasanya’ marah Adam dalam hati.
“Uhuk, uhuk!” Khalisah terbatuk.
“Awak mengumpat saya ya?!” marah Khalisah.
“Ish, tak adalah, tak baik main tuduh-tuduh. Saya keluar dulu, ada kerja.” Adam pantas meminta diri dan membawa dokumen di atas meja.
“A.. wak!” marah Khalisah.
Sebaik keluar dari pejabat Khalisah, Adam senyum sendiri.
“Baru kau tahu jampi serapah aku, itu baru batuk.” Adam berkata seorang diri dan ketawa dalam hati.
Dilihatnya dokumen di tangannya. Fuh! Tebalnya sahaja cukup satu jangkal tangannya.
‘Ni hadiah tadilah ni, nasib-nasib...’ gumam Adam dan terus ke kawasan pencetak.
Harap-haraplah sempat dan harap-haraplah mesin photocopy di pejabat itu boleh digunakan. Kalau tidak memang masak dia, masak kunyit, masak gulai pun sapu.
“Wahai mesin photostat, tolonglah bermurah hati dengan aku, jangan buat masalah ya..” sempat pula Adam menyeru mesin photostat.
Punyalah penat, menunggu kertas keluar boleh tertidur. Adam termagu-magu di sana, kluk, klak, kluk, klak, itu sajalah bunyi yang didengarnya. Kadang nadanya perlahan, kadang nadanya laju, nasib baiklah setakat ini belum ada yang sangkut, kalau tidak memang dia lanyak agaknya mesin itu. Beberapa pekerja memandang Adam.
“Baru kerja dah kena dera?” tanya salah seorang staf yang kebetulan lalu di tepinya.
“Nasib badan..” jawab Adam membalas dengan senyuman.
“Shh.. orang tak bersuami memang macam tu, mood ikut dia, awak kerjalah hati-hati. Setakat ni dah lima orang setiausaha dia berhenti tau,” staf itu memberitahu, nada suaranya diperlahankan.
“Iya? Sebelum ni secretary lelaki ke perempuan?” tanya Adam berminat.
“Perempuan. Dia memang tak nak secretary lelaki. Awak bertuah tu, by the way saya Khalid.” Staf lelaki itu mengenalkan diri.
“Saya Adam.” Adam senyum dan berjabat tangan dengan Khalid.
“Okey, saya nak sambung kerja saya. Nanti bising pula boss tu.” Khalid meminta diri.
‘Tak mahu secretary lelaki? Jadi? Kenapa dia ambil aku? Ke, sebab nak balas dendam pasal malam tu ke?’ gumam Adam sendirian.
Dia mati kata. Biarlah apa orang nak kata dan biarlah Khalisah cuba mencari salahnya. Selagi dia mampu bertahan di situ, selagi itulah dia bekerja dan memberi khidmat. Bukan senang mahu mencari kerja di dalam keadaan sekarang.
*********
“Awak ada lesen memandu?” tanya Khalisah yang berada di depan keretanya, sebentar lagi mereka akan ke tapak projek.
Fuh! Terbeliak bijik mata Adam melihat kereta Skyline berwarna merah itu, sangat berkilat, gamaknya kalau bergambar di sebelah kereta itu, kereta itu lebih menonjol daripada manusia barangkali.
“Saya boleh memandu, tapi buat masa sekarang, saya hanya ada lesen motor sahaja,” jawab Adam jujur.
 “Kalau macam tu, awak follow saya. Guna motor awak.” Khalisah membuka pintu kereta dengan lagaknya.
Ceh! Adam baru berangan hendak merasa naik kereta mewah. Tapi tidak apalah, tengok pun dah cukup. Ikutkan sajalah arahan Khalisah, dia kan Cik Boss...
Adam segera menuju ke tempat motosikalnya. Nasib baiklah sudah upgrade, kalau dulu-dulu punya, sah-sah kereta itu tidak dapat dikejarnya.
“Laju juga minah ni drive, alah, orang kaya kalau kena saman pun macam beli kasut dekat pasaraya.” Adam berkata sendiri dan masih cuba untuk tidak kehilangan kereta Khalisah di depan.
Beberapa minit kemudian mereka akhirnya sampai ke tapak projek. Jauh juga tapak projek itu, nasib baik Adam sudah mengisi minyaknya penuh. Kalaulah dia singgah lagi di stesen minyak mana mungkin bossnya yang seorang itu akan rajin menunggunya. Sumpah! Potong jari pun dia takkan tunggu.
Khalisah turun dari kereta dengan memakai sunglasses hitamnya. Sekali pandang memang sangat bergaya. Ala-ala model sunglasses pula, sempat Adam memandang kasut merah yang dipakai Khalisah. 5 inci tu!! Boleh ke jalan tempat-tempat macam tu.
‘Ish perempuan ni, agak-agaklah, dia ingat pergi shopping kat mall ke,’ gumam Adam mengherot mulut.
“Awak tunggu apa lagi tu, pegang payung ni,” arah Khalisah memberikannya payung berwarna merah jambu.
‘Jadi bodyguard pulak? Payung merah jambu pula tu, pleaselah...’
“Dah, cepatlah. Panas ni,” marah Khalisah, segera Adam mengambil payung di tangan Khalisah dan memayungkannya.     
“Selamat Datang Cik Khalisah,” seorang lelaki separuh umur terkocoh-kocoh datang menghampiri mereka.
“Adam, ni Encik Majid, pengurus tapak projek ni.” Khalisah mengenalkan.
“Saya Adam.” Adam menjabat tangan lelaki tersebut, lelaki tersebut senyum memandangnya.
Adam mengikut ke mana Khalisah berjalan bersama Encik Majid. Khalisah melakukan pemantauan di sana kerana projek masih di peringkat awal. Adam memandang kawasan yang baru berturap itu, kawasan itu nanti bakal memberi manfaat kepada masyarakat di sekitarnya. Adam belajar untuk memerhati tetapi belum pantas untuk memberi pendapat.
“Macamana projek kita setakat ni Encik Majid?” tanya Khalisah.
“Setakat ini semuanya dalam keadaan baik Cik Khalisah. Cuma keadaaan cuaca agak tidak menghabiskan kerja mengikut jadual yang ditetapkan,” jelas Encik Majid.
“Tidak mengapa, proceed saja.” Khalisah faham.
Setelah berada lebih kurang sejam berada di tapak projek, Khalisah beredar. Adam masih memayungkannya. Semasa dalam perjalanan ke kereta,  Khalisah terpaksa melangkah berhati-hati, batu-batu kecil di situ agak licin selepas hujan malam tadi, kasut tinggi yang dipakai Khalisah memang tidak sesuai untuk dipakai di tapak projek itu, memanglah mahal kasut itu, tapi kalau di batu-batu seperti itu ia umpama berjalan kaki di atas kaca.
Tiba-tiba... “Ouch!” Khalisah hampir tergelincir.
Adam lantas memegang lengan Khalisah dan memaut badannya untuk menyelamatkannya.
“Cik Boss tak apa-apa?” tanya Adam menunjukkan sikap prihatinnya.
Sempat Adam terpandang mata Khalisah, baru dia perasaan, mata wanita itu berwarna coklat ala artis seberang Luna Maya. Sunglasess yang dipakai Khalisah jatuh ke bawah.
“Sudah, lepaskan saya!” tiba-tiba pula Khalisah marah kepadanya.
“Okey, okey, saya pun tak hingin nak peganglah. Cik Boss pun satu, kalau tahu nak ke site tu, pakailah kasut lebih rendah sikit.” Adam menasihat tiba-tiba.
“Suka hati sayalah, saya nak pakai kasut 5 inci ke, 10 inci ke sekalipun, apa awak kisah?” marah Khalisah pula, apa tidaknya, dia tidak suka orang menasihatinya.
 ‘Perempuan tak kenang budi! Dah dua kali aku selamatkan kau,’ gumam Adam marah seorang diri.
‘Nak ambil kesempatan lah tu, dasar lelaki miang!’ marah Khalisah dalam hati.
Adam mendiamkan diri, malas dia melayan orang yang sedang marah, iyalah, api dengan api nanti marak membara pula.
Khalisah yang masih saja geram cuba berjalan menuju ke keretanya, “Argh!” Khalisah menjerit.
Adam menggeleng kepala dan terus membantu Khalisah sampai ke kereta.
“Ja.. jangan pegang saya!” marah Khalisah.
“Cik Boss jangan bodoh sombong boleh tak? Dah, drive hati-hati.” Adam pula mengarah.
Khalisah masuk ke dalam keretanya. Tiada sebarang kata-kata keluar dari mulut Khalisah. Terima kasih pun tidak. Adam faham, walaupun perempuan itu menyakitkan hati, tapi dia bukanlah jenis orang yang berdendam.
Sepasang mata memerhatikan mereka, mengawasi gerak langkah Adam dan Khalisah.
“Tak guna kau Adam. Kau nak sangat bermain ya,” marah orang itu dari dalam kereta.
“Okey, jalan!” Orang itu memberi arahan.
Khalisah menghidupkan enjin kereta dan terus keluar dari kawasan itu. Meskipun marah pada Adam, tapi dia tidak mahu mengikutkan perasaan sangat. Harapnya malam nanti Mak Jah orang gajinya dapat mengurut kakinya yang sakit tu. Kalau tidak alamatnya terpaksalah ke tempat urut ataupun klinik.

VIDS PROMO NOVEL 


P/S ---> Novel telah pun terbit. Boleh mendapatkannya dengan Kaki Novel atau kunjungi Kedai Buku MPH & Popular Bookstore serta kedai berdekatan anda untuk mendapatkannya. :)