~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Saturday 26 October 2013

E-Novel 'KELIP KELIP' (Bab 9)


BAB 9
 KELIP KELIP
TIGA hari sebelum Indah berangkat ke Korea, dia mahu berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur. Selama setahun dia tinggal di rumah keluarga Akram, tak sekalipun dia dibawa berjalan-jalan. Malah menjejak Menara Kuala Lumpur dan Suria KLCC yang terkenal di Bandaraya Kuala Lumpur itu juga langung tidak pernah. Hari itu Indah ditemani oleh Darwish. Mulanya Indah keberatan ditemani Darwish kerana mereka bukan mahram, namun kerana mereka kini adalah adik beradik maka Indah harus membiasakan dirinya. Destinasi mereka selepas makan tengahari di Menara Kuala Lumpur hari itu adalah ke Berjaya Times Square. Itu kali pertama Indah ke sana, besar juga bangunananya, di hadapan pintu masuk itu ada pameran orkid, Indah sempat pandang bunga orkid yang cantik-cantik itu.
“Indah nak ke mana lagi?” tanya Darwish memandang Indah yang masih saja leka memandang bunga di sekelilingnya.
“Indah ikut saja, mana pernah Indah datang sini. Nanti sesat pula.” Indah menjawab sambil memandang ke kiri dan ke kanan.
Darwish senyum, dia angkat keningnya, “Saya tahu nak bawa awak ke mana. Jom.” Darwish membawanya.
“Abang, kita nak ke mana?” tanya Indah polos semasa mereka sudah berada di dalam lif.
Darwish pandang Indah sekilas, “Adalah. Indah ikut je,” jawab Darwish dan mempercepatkan langkahnya.
Indah hanya menurut. Kemudiannya mereka sampai ke sebuah saloon. Indah pandang Darwish.
“Abang nak gunting rambut?” tanya Indah.
Darwish geleng kepala, “Tak, abang nak Indah yang potong rambut, blow, cantikkan rambut Indah tu. Bagi hilang stress sikit.” Darwish memandang Indah yang berselendang di kepalanya, sekali pandang macam isteri yang ke majlis pengkebumian suami pula.
Indah herot mulut, “Tak apalah abang. Indah rasa baik ke tempat lain saja.” Indah enggan.
“Masuk ajelah. Kita dah sampai. Abang kenal Tuan punya kedai ni. Jom, janganlah takut. Mereka ada tempat untuk wanita menutup aurat kalau tak nak orang lain nampak.”  Darwish memujuk.
Mahu tidak mahu Indah masuk juga ke dalam bersama Darwish.
“Apa khabar Syuhada? Ini adik saya Indah.” Darwish menegur tuan punya kedai itu dan memperkenalkan Indah.
Syuhada memandangnya, “Adik? Tak pernah dengar Darwish ada adik.” Syuhada pandang Indah atas bawah. Indah kurang selesa.
“Awak ni Syuhada. Takkan saya nak cerita panjang lebar pula. Dah, awak potong rambut adik saya ni bebaik, blow ke apa. Bagi nampak okey. Bawa dekat dalam, dia segan orang nampak rambut dia kena potong.” Darwish menerangkan.
“Okey boss!” balas Syuhada.
“Mari Indah.” Syuhada membawanya masuk ke dalam.
“By the way Indah, abang akan datang dalam dua jam lagi, abang tak jauh pun. Nanti abang datang balik.” Darwish berpesan.
“Abang.” Indah seakan enggan.
“Tak apa, Syuhada ni kawan abang. Its okey.” Darwish memujuk lagi.
Syuhada memegang tangan Indah, “Its okey Indah.” Syuhada meyakinkan.
Melihat Syuhada yang begitu mesra dan tulus, Indah lega. Darwish pun berlalu.
Indah masuk ke dalam bersama Syuhada.
“Awak duduklah. Buka selendang awak.” Syuhada mengarahkan.
Indah membuka selendang di kepalanya. Dia sebenarnya selesa dengan adanya selendang itu. Bila memandang dirinya di cermin. Indah rasa malu. Syuhada mendekatinya.
“Banyak kena usaha rambut awak ni. Tak apa. Saya akan buat semuanya untuk awak. Awak just duduk je.” Syuhada bercakap seorang diri.
Indah tetap saja diam, dia melihat bahunya diletak tuala, kemudian rambutnya diletakkan shampoo dan kepalanya diurut-urut. Lega Indah dengan urutan itu, rasa hilang semua stress yang bersarang di otaknya.
“Indah ni umur berapa?” Syuhada membuka perbualan.
Indah pandang Syuhada di cermin, “25 tahun.”
“Muda lagi. Tak apa, Syuhada saja tanya, sebab nanti nak potong rambut Indah seiring usia,” tambah Syuhada.
Indah sebenarnya bukan tidak pernah ke saloon, dulu sebelum berkahwin dengan Akram dia selalu ke saloon Mei Ling kawan sekampungnya; Dahlia. Macam-macam fesyen juga dibuatnya dulu, biasalah zaman remaja, selalu terikut-ikut. Setelah rambutnya dibasuh, Indah kembali semula ke tempat duduknya. Rambutnya dikeringkan, Indah rasakan kepalanya sangat ringan. Kemudiannya proses memotong rambutnya bermula. Rambutnya yang panjang itu dipotong rata melepasi bahunya. Di bahagian hadapan juga digunting rata menampakkan kening Indah. Seketika kemudian semuanya siap.
“Cantik,” puji Syuhada.
Indah hanya pandang sahaja. Tapi dalam hati melihat fesyen rambut begitu, dia teringat pada Syura. Ada sedikit kepuasan dalam hati Indah.
“Macamana? Okey?” tanya Syuhada.
Indah angguk. Kemudiannya Indah letakkan semula selendangnya di kepala. Syuhada senyum, kemudiannya Indah keluar. Risau juga dia tidak melihat Darwish. Melihat beberapa kedai di sekitar, Indah teringin mahu keluar.
“Syuhada, saya nak jalan-jalan dekat luar tu ya. Tak apa kan?” Indah meminta kebenaran, macam Syuhada tu penjaga pula. Syuhada angguk dalam pelik melihat Indah.
“Jangan jauh tau, nanti abang awak datang susah nak cari. Saya masuk dulu, ada pelanggan ni,” pesan Syuhada seolah memahami.
“Okey.”

Indah berjalan melihat kawasan tersebut, ada pelbagai kedai di situ. Indah berjalan di tingkat sama sambil melihat beberapa ibu bapa membawa anak-anak mereka. Teruja Indah melihat teletah kanak-kanak itu semua, Indah melihat beberapa kedai, dia tahu memang tidak sesuai dengan dirinya, dia manalah tahu berfesyen. Indah hanya lalu di depan setiap kedai dan memandang sekilas seakan-akan rusa masuk kampung.

“Urgh!”
Tiba-tiba Indah terlanggar bahu seseorang, dia pandang wajah itu, Indah kenal sekali. Itu Syura, isteri baru Akram, segera Indah berlalu daripada situ menutup wajahnya dengan selendang. Syura tidak mempedulikan dan terkocoh-kocoh berlalu kerana risaukan sesuatu. Segera Indah bersembunyi di satu tempat kerana takut disyaki apa-apa. Hatinya berdebar-debar.
Indah pandang kiri dan kanan.
“Kau jangan gerak! Kalau tak aku tikam!” jerkah seorang lelaki tiba-tiba, Indah ketakutan.
“Apa kau nak?” tanya Indah cuba bersuara.
“Aku nak kau bawa budak lelaki ni keluar dari bangunan ni secepatnya!” arah lelaki itu.
“Ha? Kenapa aku?” Indah pelik.
“Kau jangan banyak tanya, pegang dia cepat! Sebelum pintu utama ditutup kau kena keluar!” arah lelaki itu dan menyerahkan kanak-kanak lelaki itu kepada Indah.
Indah dengan tak tahu apa-apa memeluk kanak-kanak lelaki itu dan memegangnya cermat.
“Ikut saya cepat! Awak jangan cuba lari. Kalau tak saya tikam awak!” lelaki itu memberi amaran.
Cepat mereka melangkah.
“Tukar baju dan seluar dia sekarang!” arah lelaki itu, segera Indah menukar kanak-kanak itu dalam keterpaksaan. Orang yang memandang mereka tidak mempedulikan, mungkin melihat mereka umpama pasangan suami isteri seperti kebanyakan mereka yang membawa anak ke situ.
“Cepat!” arah lelaki itu lagi dan menarik tangan Indah.
“Perhatian! Seorang kanak-kanak lelaki berumur lingkungan setahun berbaju kuning berseluar merah dilaporkan hilang. Minta kerjasama semua agar tidak panik, semua pintu utama dan pintu kedai akan ditutup serta merta!”
“Celaka! Kaulah ni lambat!” marah lelaki itu menghentikan langkahnya, nasib baiklah dia sempat menukar baju dan seluar kanak-kanak itu tadi, tapi untuk keluar daripada situ agak sukar sekali. Budak lelaki itu hanya memandang Indah diam, comel kanak-kanak lelaki itu di matanya.
 Indah pandang lelaki itu, dia cuba cakap sesuatu, “Encik, lepaskanlah budak ni encik, dia tak bersalah. Encik boleh lari, Insya ALLAH saya takkan beritahu sesiapa. Masih sempat Encik.” Indah merayu tiba-tiba, entah daripada mana keberanian yang seculas itu datang.
“Kau jangan mengarah aku!” marah lelaki itu lagi, suaranya perlahan.
Keadaan di bangunan itu agak kelam kabut, semua kedai menutup premis mereka, kebanyakan pengunjung pula berada di lobi sambil memandang sekeliling. Indah pandang lelaki yang memakai kaca mata hitam itu. Beberapa pengawal keselamatan memeriksa semua tingkat yang penuh dengan para pengunjung. Ada pula kanak-kanak yang menangis.
“Kurang hajar! Ingat, aku lepaskan budak ni. Tapi kau kena tunai janji kau, kalau tak, aku tahu mana nak cari kau!” marah lelaki itu.
 Tiba-tiba saja lelaki itu mengambil pisau dan sempat menghiris jari Indah.
“Urgh!” Indah menyeka luka di tangannya. Darah mengalir pekat. Lelaki itu berlalu secepatnya.
Indah memegang kanak-kanak itu erat. Bila lelaki itu sudah tidak kelihatan, Indah berteriak memanggil pengawal keselamatan yang kebetulan baru naik di tingkat tersebut.
“Encik! Encik! Ini budaknya!” teriak Indah.
Segera empat orang pengawal keselamatan itu ke arah Indah.
“Cepat Encik! Orangnya lari ke sebelah sana!” Indah berteriak menunjuk ke satu arah yang bertentangan, dia terpaksa menipu demi keselamatannya.
Kanak-kanak lelaki itu dibawa ke kaunter oleh seorang lagi pengawal. Indah memandang dari tingkat tiga bangunan itu dan alangkah terkejutnya dia apabila melihat Syura dan Akram memeluk erat kanak-kanak lelaki itu. Tiba-tiba saja rasa tenang tadi bertukar dengan rasa amarah yang membuak-buak. Kalau ikutkan hatinya, biar saja anak mereka itu hilang! Biar mereka tahu rasanya erti kehilangan!
“Indah ke mana?” tiba-tiba saja pula Indah disapa dengan suara Darwish.
Indah tersentak, “Tak, Indah nak turun cari abang tadi.” Indah tergagap-gagap sehingga kain sapu tangannya terlepas.
“Macamana sampai boleh luka ni?” tanya Darwish pelik.
“Tak ada apa-apa ni, Indah yang cuai. Kita baliklah,” balas Indah.
“Ada budak kena culik tadi. Tak apa, kita tunggu kejap sampai pintu utama buka.” Darwish memberitahu.
10 minit kemudian keadaan kembali seperti sediakala. Indah dan Darwish berlalu daripada situ. Melayang-layang fikiran Indah mengingatkan hal yang baru berlaku itu, sampai begitu berani dia merayu meminta anak Syura dan Akram itu dilepaskan. Tapi dirinya tidaklah sebegitu kejam sekali membiarkan anak kecil tidak berdosa itu menjadi mangsa, yang kejam dan jahat itu ibu bapanya, bukan anak kecil itu, Indah bermuhasabah mengingatkan dirinya, dia tarik nafas kemudian pandang keluar melihat awan-awan yang bergerak sambil Darwish memandu kereta itu pulang ke apartmentnya.

bersambung.....

p/s --- Terima Kasih singgah baca dan jenguk. ^__^

Wednesday 23 October 2013

E-Novel 'KELIP KELIP' (Bab 8)



BAB 8
KELIP KELIP
SAMPAI saja di rumah, Indah melihat Pak Din berlalu pergi. Hatinya tidak keruan, terfikir itu dan ini, Indah duduk di sofa dan baringkan dirinya. Melihat ibu dan ayahnya diperlakukan sedemikian rupa membuatkan Indah rasa keluarga Akram benar-benar tidak berperikemanusiaan langsung! Mereka semua memang tidak berguna! Tangan Indah digenggam kuat dengan tekad.  Air matanya tiba-tiba saja mengalir. Air mata itu hadir bersama semua bara, bara amarah pada keluarga itu. Dia seka air matanya yang membasahi pipinya. Dia tidak mahu lagi menjadi Aisha yang pengalah, kini dia adalah Indah, seorang yang baru dengan nadi hidup serta semangat hidup yang baru!
Ting Tong!
Loceng apartment berbunyi. Indah tersentak. Puan Zulaikha sampai bersama Pak Din. Dia tahu akhirnya Pak Din akan buka mulut juga. Indah jelingnya tajam.
“Tak apa Indah. Mama sudah uruskan semuanya. Jangan risau.” Puan Zulaikha memberi harapan.
Indah sebak, “Terima Kasih mama. Bukan niat Indah nak melanggar syarat, cuma Indah tak sanggup lihat mereka meminta-meminta begitu sedangkan Indah baik-baik saja di sini.” Indah bersuara.
“Mama faham apa yang kamu rasakan Indah. Indah jangan salah faham. Mama tak cakap yang kamu harus lupakan mereka terus. Cuma untuk sementara ini kamu jangan bertemu dengan mereka supaya semua rancangan kita berjalan lancar.” Puan Zulaikha senyum dan kemudian memegang tangan Indah dan membawanya duduk di sofa.
“Rancangan apa mama?” tanya Indah, dahinya berkerut.
Puan Zulaikha membelai kepala Indah perlahan, “Sebenarnya mama nak hantar Indah belajar ke luar negara. Jika diikutkan,  mama mahu Indah bekerja dengam mama, tapi mama tidak memaksa Indah, Indah boleh pilih, mama ikut kemahuan Indah untuk belajar apa saja bidang yang Indah rasa sesuai dengan Indah.” Puan Zulaikha mencadangkan.
“Se.. sebenarnya Indah nak belajar selok belok pembuatan kosmetik dan kecantikan. Dari dulu Indah ada cita-cita nak ada produk jenama Indah sendiri.” Indah memberitahu hasratnya, dia tahu apa yang dikatakannya itu adalah apa yang dimahukannya sekarang, dia mahu belajar mengenai selok belok itu kerana ingin sama seperti Syura. Indah mahu lebih daripada itu!
Puan Zulaikha pandang Indah, dia faham perasaan Indah, bagi Puan Zulaikha, dia hanya membuka jalan sahaja. Selebihnya di tangan Indah.
 “Bagus. Mama suka orang yang bercita-cita tinggi. Macam ni, mama nak kamu belajar selama setahun di Korea. Mama tahu, tempatnya memang bumi asing bagi kamu. Tapi mama percaya, tempat itu adalah tempat di mana seluruh dunia menumpu mata sekarang. Jangan risau, ada orang yang akan menemani kami nanti. Malah, kilang-kilang produk kosmetik negara kita juga dibuat di sana. Mama akan uruskan supaya Indah dapat belajar dengan seorang kawan mama di sana juga.” Puan Zulaikha memberitahu.
“Baik mama. Indah setuju.” Indah bertekad.
“Nanti bila balik Malaysia. Mama akan beri modal untuk Indah buka bisnes sendiri. Mama yakin, bila Indah bekerja dengan kawan mama nanti, Indah akan faham apa yang mama maksudkan,” terang Puan Zulaikha.
“Terima kasih mama.” Indah lega.
Puan Zulaikha dan Indah senyum, Indah percaya, ini adalah peluang untuknya berjaya. Terlalu banyak masa yang dia persia-siakan. Indah rasa sudah tiba masanya untuk dia berubah, untuk dia maju ke depan.
“Assalamualaikum.” Darwish memberi salam.
“Waaalaikumsalam,” jawab Puan Zulaikha dan Indah serentak.
Darwish senyum, dia buka tali lehernya, “Mama dan adik bincang pasal apa ni? Borak-borak tak ajak Darwish pun,” tanya Darwish.
“Anak bertuah ni. Semua dia nak sibuk,” omel Puan Zulaikha.
“Iyalah mama..” Dawrsih herot mulutya.
Indah senyum melihat perlakuan Puan Zulaikha dan Darwish. Sekurang-kurangnya dengan adanya mereka hidupnya tidak sunyi, tidak terumbang ambing. Indah rasa sangat-sangat terhutang budi dengan keluarga itu.
Kemudiannya Puan Zulaikha masuk ke bilik air. Darwish mendekati Indah.
“Bincang apa dengan mama?” tanya Darwish mesra.
Indah senyum, “Indah nak belajar di Korea,” jawabnya ringkas.
“Jauhnya.. lepas ni susahlah nak jumpa ya,” tona suara Darwish berubah.
“Tak lama pun, cuma setahun cuma, pejam celik, pejam celik. Akhirnya nanti Indah balik sini juga,” balas Indah.
Darwish senyum, “Insya ALLAH, abang doakan moga-moga Indah berjaya ya.” Darwish berharap.
Darwish seakan tidak sangka, wanita yang dia jumpai saat pertama kali di tengah laut itu kini berada di hadapannya. Wanita yang hampir kehilangan nyawanya. Wanita yang kali pertama Darwish rasakan ingin diselamatkan. Darwish merasakan ada suatu ketenangan apabila memandang Indah,  cuma Darwish sedar semua itu takkan mungkin berlaku. Dia tahu di mana letaknya dirinya dan di mana letaknya diri Indah. Bagi Darwish melihat Indah baik-baik saja sudah cukup baginya.
Plak!
Pintu bilik air dibuka.
“Rancak berborak?” tanya Puan Zulaikha.
“Borak kosong saja mama,” Darwish senyum, dia pandang Indah.
Puan Zulaikha mengambil tempat duduknya, “Kalau tak ada hal, bulan depan Indah sudah boleh belajar, mama akan uruskan semuanya secepat mungkin.” cadang Puan Zulaikha.
Indah senyum, “Terima Kasih mama.” Indah rasa teruja pula.
“Sama-sama Indah. Yang penting janji kamu akan belajar bersungguh-sungguh dan jangan kecewakan mama,”  pesan Puan Zulaikha kepadanya.
“Insya ALLAH mama. Indah akan cuba sebaik mungkin.” Indah tekad.
                                             *********************
Kring! Kring!
Telefon pejabat Syura berbunyi. Segera diangkatnya.
“Helo?”
“Helo Syura. Masih ingat aku?” tanya pemanggil itu.
Suaranya memang sangat-sangat Syura kenali. Itu adalah Amir, bekas kekasihnya.
“Kau nak apa telefon aku?” tanya Syura tak mahu berputar belit.
“Kasarnya sayang. Tak rindukan sayang ke? Tahulah orang dah senang sekarang kan? Mana nak pedulikan sayang lagi...”
“Saya tak ada urusan lagi dengan awak. Jangan  telefon saya lagi.” Syura mengingatkan dan segera menghempas gagang telefon tersebut.
Teringatkan lelaki itu membuatkan hati Syura sakit. Dia perlu pertahankan apa yang dia dapat kini. Syura memandang jauh. Sekiranya Amir juga menjadi batu penghalang sama seperti Aisha, dia takkan teragak-agak untuk menghapuskannya!
                                      *******************
                                      Tiga minggu kemudian...
Indah duduk di balkoni apartment itu. Bumi Malaysia yang meninggalkan banyak memori dan kenangan pahit itu akan ditinggalkannya buat sementara. Indah merenung langit yang penuh dengan bintang. Saat melihat bintang itu, Indah sempat pula teringatkan Akram sekali lagi. Indah cuba memadam apa yang terpapar di memorinya tika itu, baginya mengingat Akram sudah tidak berguna dan bermakna lagi. Tiba-tiba saja seekor kelip-kelip muncul dan terbang di depan mata Indah. Indah teruja melihat kelip-kelip itu, dia teringatkan kampung halamannya.
“Kelip-kelip, sampaikan salamku pada orang tuaku...” pesan Indah meskipun dia sendiri tahu apa yang diperkatakannya tika itu tak masuk akal.
Indah perhatikan kelip-kelip itu berlalu. Dia pandang bintang semula, Indah tahu, hidupnya bakal bersinar kembali suatu hari nanti.
“Allahu Akbar.. Allah.. hu Akbar..”
Laungan azan membubarkan lamunan Indah. Segera dia masuk ke dalam mengambil wuduk dan menunaikan Solat Isya’, memohon agar perjalanannya nanti dipermudahkan. Usai semuanya, Indah bermuhasabah berharap agar rasa amarah yang ada dalam dirinya itu dapat dihilangkan. Indah tahu hidup dalam kebencian seperti itu umpama menanggung seksa yang tidak berkesudahan di bahunya. Indah mahukan hidupnya aman dan tenang, Indah tahu rasa amarah itu tak mungkin dapat hilang hanya dalam sekelip mata, tapi dia cuba dan cuba juga meskipun tahu semua itu takkan semudahnya berlaku kerana dia hanyalah seorang manusia biasa cuma...

bersambung...

p/s -- Terima Kasih singgah baca. Maaf atas kekurangan, akan diperbaiki nanti. Terima kasih kerana masih meneruskan pembacaan anda.  ^_^