~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Wednesday 1 February 2012

Sedutan Manuskrip ASRAMA (Bahagian 2)

Setelah hampir dua jam mendengar ceramah dan penerangan, aktiviti malam itu berakhir dan disambung esok pagi untuk sukan pagi. Namun, sebelum itu salah seorang urusetia memberi mereka sebiji telur untuk dijaga.
            “Minta perhatian ya, telur ni mesti kamu pegang walau di mana-mana kamu berada sepanjang program ni. Jangan pecah atau tertinggal, kalau tidak adalah denda yang menanti,”
            Ratna Dewi dan peserta program yang lain diberikan seorang sebiji telur, dia berhati-hati memegang telur tersebut, nasib baiklah dia membawa beg, dapatlah dia menyimpannya di dalam. Kemudiannya dia beratur untuk minum malam, tetapi dia tiba-tiba teringat pula rakan-rakannya di bilik. Pasti mereka lapar sebab belum makan malam lagi. Almaklumlah Makcik Miah hanya menyediakan makan dan minum untuk peserta kursus. Usai mengambil apa yang perlu, Ratna Dewi terus naik ke biliknya dan membawa beberapa biji roti untuk mereka.
            Sampai di bilik dia melihat rakan-rakannya yang duduk di katil Lena dan bercerita.
            “Amboi, gosip nampak,” sapa Ratna Dewi tersenyum sinis sambil membuka kasutnya.
            “Ala, cerita biasa saja,” jawab Lena.
            May kelihatan kurang senyum, Ratna Dewi kemudian mendekatinya, “May, kenapa ni? Lapar ya?” tanyanya.
            “Ish, badan kecik tapi kuat makan, tahanlah sikit, nanti malam baru boleh mula operasi,” jawab Farah.
            Ratna Dewi bingung dengan perkataan operasi yang dimaksudkan Farah, kemudian bertanya, “Operasi apa?”
            “Operasi baik punya..” jawab Farah senyum.
            “Boleh tak kita pergi awal?” tanya May dengan muka kesian.
            “Tak boleh, line clear baru boleh pergi, kau nak mampus, nampak Pak Darus naya kita,” tegas Lena.
            May mengalah, Ratna Dewi masih terpinga-pinga.
            Malam itu tepat jam 12.30 malam, Ratna Dewi dibawa oleh rakan-rakannya menuju ke satu tempat. Mereka ke belakang asrama, Lena membuka dawai pagar dan membantu rakan-rakannya keluar.
            “Kita nak ke mana ni?” tanya Ratna Dewi.
            “Ala, nanti kau tahulah, jom!” jawab May bersemangat.
“Kalau ikut pagar belakang Dewan Makan, mesti kuar kat jalan besar tu...," celah Farah selamba.
Kini baru Ratna Dewi faham, kawan-kawannya itu membawanya untuk menyusup keluar dari asrama. Ratna Dewi menggeleng kepala tetapi menurut. Berat hukumannya kalau sesiapa menangkap mereka, boleh kena buang asrama. Tapi apa boleh buat, sudah terlanjur. Alang-alang buat, alang-alang mandi, biar basah.
“Mana kau tahu Farah? Macam ada pengalaman saja?” tanya Lena.
“Err.. hehehe..!” Farah tersengih-sengih.
“Hmm.. muka si Farah ni nampak saja innocent bah, kau jangan inda tahu Dewi,” tambah Lena.
“Dahlah.. jomlah lekas pegi jalan besar tu!" Ujar Farah.
"Kejapp.. kita jangan ikut pagar belakang tu bahaya..kita ikut jalan lain..aku tunjuk!" May pula berkata dan membuatkan yang lain memandangnya.
"Kau ni May! Diam-diam ubi berisi!" ujar Farah pula.
“Mahu hidup di asrama mesti pandai, ini pun tempat pelajar lain fly tau, aku nampak geng Queen dulu lalu sini, aku pun ikutlah,” jawab May tersengih.
Ratna Dewi sekali lagi tidak menyangka May tahu jalan-jalan mahu fly. Tidak ramai yang tahu jalan terbaik nak fly dari asrama. Tapi, kalau silap jalan, memang akan terjumpa Pak Darus, Jaga Sekolah tu. Selalunya budak-budak asrama ni fly sebab nak ke kedai hujung jalan. Makan lewat malam kata diorang. Ada yang fly sebab nak lari dari sekolah dan balik rumah. Selalunya jadi kat budak-budak form 1.
Jalan-jalan yang dibawa oleh May asing bagi Ratna Dewi dan rakan-rakannya. Entah macam mana dia tahu jalan itu. Tapi, jalan tu jalan short-cut pegi ke jalan besar. Lebih kurang 15 minit, mereka pun sampai setelah melalui beberapa jalan yang gelap gelita.
“Ha, tengok tu kedai makan kita!!” May girang melihat beberapa deret kedai di hujung jalan.
Mereka semua memandang May, May hanya tersenyum sinis.
“Owh, selalulah buat kerja-kerja undercover ni?” soal Lena.
“Err.. ala, jom makan!” May menarik tangan Ratna Dewi.
“Nak makan dekat sini ke May? Kang Pak Darus makan dekat sini habis kita,” Farah ragu.
“Kita makan sikit dan tapau. Tak boleh lama, tak lama lagi Pak Darus nak meronda,” Lena mencadang sambil melihat jam di tangan Ratna Dewi.
“Okey!” May menjawab dan langsung saja ke gerai makan tersebut.
Ratna Dewi masih berasa pelik, setahunya tiada pula gerai di kawasan itu. Tapi dia tetap menurut, kasihan dia melihat kawan-kawannya belum makan. Terdapat tiga buah gerai yang menjual pelbagai makanan. Nampak saja makanan itu, May mengambil bekas dan memasukkan beberapa lauk.
“Dewi, ambillah, makcik ni jual murah saja bah,” kata May mengajak.
Ratna Dewi kemudian menyertai mereka memilih lauk pauk, banyak juga lauk yang dijual. Terdapat juga meja dan kerusi untuk mereka makan, mereka duduk sebentar dan kemudian menuju kembali ke asrama.
Mereka berempat balik ke asrama mengikut jalan tadi dengan berhati-hati.
Tiba-tiba Lena bersuara, “Syhh..kejap-kejap..berhenti!” ujar Lena separa berbisik.
“Kenapa?” soal Ratna Dewi.
“Pak Darus tu..!” balas Lena tunduk-tunduk.
Mereka membatukan diri di balik belukar tepi garaj kereta Ustaz Firdaus. Nasib baiklah kereta Ustaz Firdaus invader, kalau kereta lain habislah mereka. Kelibat Pak Darus, Jaga sekolah kelihatan mundar-mandir di situ membuatkan mereka semua berpeluh.
Pak Darus tidak pernah lepaskan budak. Kisah Salwa, budak form 2 tahun lepas kena gantung asrama sebab fly masih segar dalam ingatan Lena, May dan Farah. Kalau ditangkap, memang nahas! Esok pagi mesti ke bilik pengetua! Lepas tu kena rotan dengan Ustazah Andartu tu!
Heishhh!Mintak simpang!
Setelah yakin Pak Darus sudah beredar, mereka bergegas kembali ke asrama.
“Alamak, selipar aku putus!” Dewi berkata tiba-tiba.
“Biarkan la! Cepat..kang Pak Darus nampak!” balas Lena cuak.
May cuba membantu Ratna Dewi. Farah dan Lena terbongkok-bongkok sembunyi agar tidak kelihatan.
“Dewi, biarkanlah! Jom cepat!” Lena menarik tangan Ratna Dewi dan mengheretnya ke kawasan asrama.
Ratna Dewi tidak sempat berbuat apa-apa. Sampai di belakang asrama, mereka semua berpeluh-peluh, termengah-mengah. Ratna Dewi kelihatan pucat.
“Dewi...Kau inda apa-apa kan? Takkan nampak hantu kot,” Soal Lena.
Ratna Dewi diam. Matanya memandang ke arah tempat mereka masuk tadi. Lena dan yang lain memerhatikan keadaan dengan berhati-hati dan terus berlari ke blok mereka. Selamat.
“Dewi! Kau okey ke tak ni?” Lena menyoal lagi.
“Selipar aku..selipar aku..habisla!” ujar Dewi cemas.
“Selipar je kot!Aku bagi kau selipar baru aku nak? Kita kan sama saiz,” ucap Farah pula.
“Aku belikan kau nanti, dekat pekan aku cantik-cantik, dahla..jom balik dorm!” ujar May pula.
“Aku tak kisah kalau korang nak belikan aku sejuta selipar baru! Tapi..tapi..kat selipar tu ada nama akuuuu!!”
“Apa???!! Mereka semua memandang Dewi dan tersentak.
 Mampus!!