~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Wednesday 28 September 2016

BUNGA TERAKHIR (Bab 1) #FirstDraft #UneditedVersion

******* PRE ORDER dengan Penerbitan BESQ dibuka sehingga 3 Oktober *******



BAB 1

BAZLI memandang cermin, tidak ada yang kurang pada wajahnya. Adalah juga sikit-sikit macam wajah pelakon Hisyam Hamid punya kembar lain mak lain ayah. Entah, apabila difikirkan soal cinta, dialah yang paling malang sekali. Balik-balik putus di tengah jalan. Ada juga dia terfikir, mungkinkah sebab dia tidak berkerjaya hebat seperti juruterbang ataupun doktor menyebabkan para-para bekas teman wanitanya itu beranggapan dia tidak mampu memberi kehidupan yang lebih baik. 

Tapi, itupun bukan faktor penentu, kalau mahu dibandingkan dia dengan pramugara muda yang lain, mereka lebih ‘playboydari dia, teman wanita keliling pinggang, malah yang kahwin dengan artis pun ada. Jadi, dia pun tidak tahu apa sebabnya. Dia bukanlah mahukan wanita yang hebat sempurna serba serbi bak Ratu Dunia atau ‘supermodel’ cantik sempurna pinggang ramping bak kerangga. Bagi Bazli, cukuplah sekadar seorang wanita yang menerima dirinya seadanya. Bazli pasrah. Umur sudah masuk 27 tahun, lagi 3 bulan masuk 28 tahun, kawan-kawannya yang lain semua sudah ada anak dua, yang mahu ada cucu pun barangkali sudah dalam perancangan. Dia sendiri pasrah kalau tidak kahwin sampai tua. 

“Malas nak fikir soal cinta lagi, kalau ada, adalah.” Bazli nekad. Tapi bukannya bermaksud dia akan bertukar orientasi kepada lelaki pula.

 ‘Minta simpang!’ desis hati kecilnya sambil geleng kepala. 

“Bazli, Bazli...”

Bazli terdengar suara ibunya memanggil di luar pintu biliknya. Segera dicapainya baju untuk disarungkan ke badan.

Bazli tarik nafas, baru mahu berangan kacak depan cermin, “Kejap, kejap mak, Bazli tengah pakai baju ni...” sahutnya pantas.

Bazli melangkah malas, bukannya apa, dia penat baru balik dari lapangan terbang tadi. Kebetulan pula di kondonya tiada air, ada renovation sikit, makanya straight sajalah dia pandu kereta ke rumah mak ayah dia. Mamanya banyak kali juga bebel, sewakan saja kondo itu dan tinggal bersama mereka. Tapi Bazli mahu berdikari sendiri dan mahu juga privasi sendiri. Lagipula umurnya makin meningkat. Nanti apa kata orang anak bujang trang trang masih tinggal dengan ibu bapa. Kawan-kawannya yang lain pun sudah tinggal sendiri dan ada juga yang menyewa beramai-ramai.

Bazli memusing tombol pintu, “Ya mama, ada apa ni?” tanya Bazli sopan, memandang ibunya yang tidak makan dek usia itu, sekali pandang memang  ada iras-iras Rozita Che Wan pelakon meletop tu, pernah kawan-kawannya yang tidak mengenali keluarganya mengatakan ibunya itu teman wanitanya semasa mereka keluar bersama, paling kurang pun dikatanya Bazli anak ikan kepada Mak Datin Jelita. Bazli pun satu, sudah besar pun nak berpimpin tangan kalau berjalan dengan mamanya. Tapi biasalah lumrah hidup sebagai pramugara, macam-macam gosip. Bazli hanya mampu ketawa. Yang Bazli tahu ibunya itu keturunan Siam, so, no wonderlah kan kenapa ibunya itu cantik. Apalagi bila umur mamanya baru masuk 47 tahun, helo? Ella penyanyi rock yang umur 50-an tu pun masih cantik, apalagi wanita di luar sana kan? 

            “Asal lambat sangat buka pintu. Turunlah makan, mama ada special guest hari ni,” lembut mamanya memberitahu.

Lain macam saja senyuman ibunya hari ini, Bazli mengerut dahi. Entah siapalah yang datang.

“Okey, kejap lagi Bazli turun, tak mandi lagi ni..” 

Puan Munira geleng kepala, “Anak bertuah, dari tadi buat apa? Cepatlah...” Puan Munira membebel sambil tersenyum simpul dan menolak Bazli menyuruhnya cepat bersiap. Apakah?  

Bazli pula mengherot mulut sendiri. Entah-entah ada kejutan harijadinya barangkali. Tapi, harijadi Bazli 3 bulan lagi. Ke, ada rombongan meminang ke merisik, ish-ish, silap, Bazli bukan anak dara. Takkanlah Mira adik perempuannya itu pula yang kena risik, macam awal pula, Mira baru masuk tahun kedua dalam ijazah undang-undang syariah di UM. Ke, Mira nak kahwin awal, aish! Langkah bendul camni. Dan... akan menampakkan pula yang dia ni memang tak laku-laku. Bazli malas nak fikir, dia terus ambil tuala dan masuk bilik mandi.

10 minit kemudian Bazli turun ke bawah, dia lihat ada seseorang yang dia kenal berada di sana.

“Ha Bazli, bersiap kalah anak dara. Salam aunty Julia ni,” arah Puan Munira pada anaknya, Bazli apalagi, menurut saja. Dia pandang aunty Julia yang masih macam dulu, biasalah kawan mama dia, pastilah seangkatan gerak gayanya.

Kemudiannya Bazli menarik kerusi, duduk, sopan sungguh lagaknya, ala-ala lelaki Melayu terakhir gitu. Macam diajar-ajar pula.

“Ha Juwita, jumpa bilik airnya?” tanya Puan Munira pada seorang perempuan muda yang baru datang dari belakang Bazli. Mahunya Bazli terkejut, dia kenal nama itu, kenal sangat!

            “Haah aunty,” jawab Juwita ringkas.

“Kenalkan, ini anak sulung aunty; Bazli, kamu pun dah kenal time kecik-kecik dulu kan. Bazli baru balik dari Bali petang tadi, ada flight ke sana. Ha, Bazli, ni Juwita, anak aunty Julia, takkanlah tak kenal kan, dulu masa kecik selalu main sama-sama, main kahwin-kahwin gitu...” tu dia Puan Munira, macam ada apa-apa saja sebut kahwin bagai, Bazli pula tetiba tunduk-tunduk macam kucing comel walaupun excited nak mampus lagi-lagi bila tengok Juwita yang cun melecun tu. 

Bazli melempar senyuman dan senyuman itu dibalas oleh Juwita lembut. Wajah Juwita yang putih melepak ala-ala pelakon sensasi Neelofa itu menggamit perhatian Bazli. Ah! Tadi sudah nekad tak nak jatuh cinta, ni sekali tengok perempuan dah cair macam coklat. Adoi!       

“Assalamualaikum...” Encik Mansor; ayah Bazli memberi salam sebaik membuka pintu rumahnya.

“Waalaikumsalam...” jawab mereka yang ada di meja makan serentak.

            Encik Mansor melempar senyuman dan terus ke meja makan.

“Oh, ada tamu.. Hai Puan Julia, mana Encik Sallehudin?” tanya Encik Mansor, formal ber Encik-Puan bagai.

            “Ada hal katanya, dia kirim salam tak dapat datang. Insya-Allah lain kali dia datang.” Puan Julia menjawab sambil melempar senyuman.

             Encik Mansor memandang Juwita, “Ni, anak ya? Dah besar... mesti tak ingat dengan uncle lagi kan. Iyalah, kali terakhir jumpa 15 tahun lepas.” 

Bazli jeling ke arah ayahnya, ‘Amboi papa, jangan tenung-tenung! Itu saya punya! Insya-Allah lah kot,’ gumam Bazli sendiri, berangan!

Hendak dipendekkan cerita, Puan Julia dan Puan Munira sebenarnya pernah membuka satu butik kecil-kecilan bersama-sama masa muda-muda dulu, sekadar cuba-cuba. Modal pun duit simpanan. Mereka bukanlah anak Dato’, Tan Sri, cuma anak kampung biasa yang datang ke bandar mencari rezeki, nasib baiklah masa tu mereka berdua bekerja secara sambilan sebagai peragawati di sebuah syarikat modeling. Kalau butik tak banyak untung bolehlah hasil modeling itu sekadar cukup-cukup makan.

Bila Puan Munira dan Encik Mansor berkenalan dan mahu berumahtangga, tidak sangka pula Puan Julia dan Encik Sallehudin kawan baik mereka tu pun jatuh cinta sama-sama. Apalagi, nikah serentaklah mereka, itupun nikah di pejabat agama sahaja. Masa itu zaman sukar mereka, butik bankrap, Encik Mansor dan Encik Sallehudin pula kena buang kerja sebab kegawatan ekonomi masa tu, mahu tak mahu untuk berjimat, mereka tinggal satu rumah sewa berniaga kecil-kecilan. Bila lebih 10 tahun tinggal bersama, ada rezeki sikit, anak-anak pun semakin membesar, mereka pun mengambil keputusan tinggal berasingan. Encik Sallehudin pula memohon kerja di kampung halamannya di Pahang, lalu membuatkan mereka terpisah. Itulah kisah pendek persahabatan empat sekawan itu. Dan kini Encik Mansor membuka syarikat pelancongan manakala Encik Sallehudin membuka syarikat perabot.

“Juwita kerja apa sekarang?” tanya Encik Mansor lagi.

“Saya buka butik fesyen uncle, bolehlah.. dulu dekat universiti ambil jurusan rekaan fesyen.” Juwita memberitahu.

“Hai Puan Julia, manalah tumpah nasi tu kalau tak ke kuah kan...” sindir Puan Munira pada kawan lamanya.

“Mama borek anak rintik gitu, penyambung delegasi waktu kita muda-muda dulu...” sambut Puan Julia sambil ketawa sesama mereka kerana teringat zaman muda-muda mereka.

Mata Puan Julia memandang Bazli yang asyik memandang Juwita dari tadi, tak berkedip.

Sengaja disapanya Bazli, “Bazli diam saja, macamana kerja? Mesti sibuk kan? Dah lama jadi FA? Mesti best kan dapat melancong seluruh dunia...” tanya Puan Julia mesra.

Bazli diam, Puan Munira memukul tangannya. Dahi Bazli berkerut, cuak pun ada.

Aunty Julia tanya tu.” Puan Munira memberitahu.

Bazli senyum pandang aunty Julia dan jawab. “Err... Haah, Alhamdulillah aunty, okey saja, saya okey,” jawab Bazli penuh dengan rasa terketar-ketar, nasib baiklah dia cepat-cepat menyembunyikan rasa gemuruh tadi. Dia pandang Juwita senyum-senyum. Alahai!

‘Nasib baik... jatuh saham yang memang tak laku ni.. ish, malunya.. malunya..’ gumam Bazli sendiri, mesti Puan Julia perasan Bazli tenung anaknya tadi, manakan tidak mereka duduk berhadapan, kemudian dia minum air yang dihidangkan perlahan-lahan.

Puan Julia dan Puan Munira angkat kening ada isyarat dan kemudian senyum sesama sendiri.
Usai makan, Juwita ke balkoni untuk ambil angin. Kemudiannya Bazli ke balkoni juga, sesaja menyapa Juwita. Dulu masa kecik-kecik, mereka berdua selalu main kahwin-kahwin, kadang-kadang main masak-masak, kadang-kadang lawan pedang dan banyaklah kadang-kadang lagi yang Bazli tak lupa. Juwita masa kecik dulu lasak sikit, semua benda dia main, baik main bola mahupun baling selipar termasuklah main mercun. Bila besar, tak sangka pula jadi rupawan gitu. Kalau mahu dibandingkan dulu dan sekarang macam langit dan bumi.

“Hai Juwita, ingat saya lagi?” tanya Bazli yang tadinya serba salah menegur.

“Awak ni Bazli, takkanlah boleh lupa pula...” Juwita menjawab sambil mengelus rambutnya yang ikal mayang.

Bazli ketawa kecil.

Juwita pandang Bazli, “Budak nakal yang selalu buat saya nangis, ejek saya tomboi macam lelaki,” sambung Juwita.

“Kuatnya memori awak, boleh pula ingat lagi. Hahaha...” Bazli ketawa sendiri.

Juwita memandang Bazli, “Awak ni, kenapa tak kahwin lagi? Dulu ramai betul orang minat awak kan masa sekolah,” tanya Juwita, cepu emasnya soalan.

“Belum sampai seru lagi, nak buat macamana... awak?” tanya Bazli pula. 

Kau.. sempurna bagiku..
Tak kurang sesuatu..
Kau terima apa adaku.. 

“Bazli, Excuse ya...” Juwita memberi isyarat pada Bazli untuk menjawab panggilan telefon itu dan meninggalkan Bazli di sana.

Sementara itu Puan Julia dan Puan Munira yang berada di dapur sibuk bercerita tentang Bazli dan Juwita.

“Nampak sesuai Bazli dan Juwita tu kan?” Puan Julia sengaja memulakan cerita.

“Awak pun perasaan ya Puan Julia. Anak saya tu okey saja, kalau saya cakap mesti dia nak punya. Lagipun dia tu hanya bercinta dengan kerja dia memanjang. Anak awak pula macamana Puan Julia?” tanya Puan Munira.

“Anak saya pun sama, sibuk di butik dia tu mengalahkan menteri.”

“Kalau kita jodohkan mereka berdua tu mesti bagus. Kita berbesanlah ya...” Puan Munira sakan bercerita.

Juwita yang kebetulan lalu di situ mendengar kata-kata ibunya dan Puan Munira. Tiba-tiba saja dia risau. Ada sesuatu yang bermain-main dalam kepalanya, ini semua takkan dibiarkannya terjadi! Kemudiannya sambil berjalan dan memikirkan perbualan yang baru didengarinya, Juwita rasa pandangannya berpinar-pinar dan kepalanya seakan pening. Juwita memegang tiang di depannya tetapi akhirnya matanya tertutup.

Bazli yang kebetulan mahu ke dapur memandang Juwita dari jauh, dia melihat Juwita tiba-tiba terjatuh.

“Juwita!” teriaknya.

Puan Munira dan Puan Julia terkejut dengan teriakan Bazli yang agak kuat, mereka keluar dari dapur. Mereka terkejut melihat Juwita pengsan di sana.

“Juwita, bangun nak.. Juwita.. bangun nak.. bangun...” Puan Julia kelihatan risau, dia memandang Puan Munira.

Bazli sampai di sana, “Mama, ambil air masak dalam gelas,” arah Bazli.

Segera Puan Munira ke dapur dan membawa segelas air.

BismillahIrahmanIrrahim.. wamai yattakillah.. ha yajAllahumakraja...” Bazli membaca Ayat Seribu Dinar dan kemudian merenjis air di wajah Juwita. Perlahan-lahan Juwita membuka matanya.

“Juwita tak apa-apa?” tanya Puan Julia yang masih risau.

“Tak ma, Juwita penat sikit saja, kita balik ya ma,” pinta Juwita.

“Okey, okey, kami balik dulu ya Puan Munira, Bazli, terima kasih ya..” Puan Julia mengucapkan terima kasih, Bazli dan Puan Munira menemani mereka hingga ke kereta.

Bazli senyum-senyum sendiri, tidak sedar perlakuannya itu diperhatikan ibunya sebaik Juwita dan ibunya beredar.

Puan Munira menguis lengan anaknya, “Suka?” tanya Puan Munira sambil angkat-angkat kening senyum penuh makna.

“Tak adalah, apalah soalan mama ni.” Bazli menafi.

“Baik. Kalau macam tu tak payahlah mama dan aunty Julia bincang lagi.” Puan Munira sengaja menarik perhatian Bazli.

“Mama nak bincang apa?” tanya Bazli ingin tahu.

Puan Munira masuk ke dalam, sengaja tak menjawab. Bazli pula terkocoh-kocoh mengejar ibunya.

“Mama!”

“Tunggulah masanya. Dah, mama nak masak ni.” Puan Munira terus ke dapur.

“Assalamualaikum?” seseorang memberi salam.

“Waalaikumsalam..” Bazli menjawab sambil memandang Mira adik perempuannya yang baru balik kuliah.

“Siapa yang datang tadi?” tanya Mira apabila melihat ada gelas yang belum dibasuh.

“Bakal kakak ipar kamu.” Puan Munira terus menjawab.

“Mama!” Bazli segan-segan.

“Kakak ipar? Wah! Baguslah, tak lama lagi meriahlah rumah kita ni dengan kanak-kanak kan ma?” Mira sengaja bergurau.

“Dahlah, Bazli nak naik bilik. Mama dan Mira ni memang sengaja mengusik Bazli.” Bazli mengherot mulut.

“Ala abang ni, macam anak dara nak naik bilik bagai.” Mira mencelah.

“Malu tapi mahu lah tu..” Puan Munira menambah lagi.

“Mama!”

Bazli geleng kepala memandang mereka yang sedang ketawa dan terus naik ke biliknya, tapi dalam hati dia senyum sendiri, hatinya berbunga riang!

Yes!” Bazli bersuara perlahan dan buat aksi macam nampak bola masuk gol!

Sementara itu di dalam kereta, Juwita memandang ibunya Puan Julia.

“Mama, apa mama cakap dengan aunty Munira tadi? Nak pasangkan Juwita dengan Bazli?” tanya Juwita.

Puan Julia tersenyum, “Haah. Sukalah tu kan?” tanya ibunya pula.

Juwita senyum sendiri, ada sebab untuk dia menerima cadangan ibunya itu. Mulanya memang dia rasa tak setuju, tapi bila memikirkan sebab yang kukuh itu sambil mengusap lembut perutnya. Juwita rasa, ini adalah satu peluang untuknya, ini adalah jalan terbaik untuknya menutup suatu hal yang baru disedarinya semalam sebelum terlambat. Lagi cepat lagi baik.

           VIDS PROMO NOVEL BUNGA TERAKHIR
  


P/S - PRA PESAN boleh dibuat dengan menghubungi PENEBITAN BESQ di laman facebook. Selain itu kunjungi PESTA BUKU SOGO yang masih berlangsung sehingga 3 Oktober 2016 nanti ^_^