~Group FB Coretan Hati Ke Jemari (Fatrim Syah)~~

Sunday 30 December 2012

E-Novel ~ Bunga Terakhir (BAB 22)


                                
                                 
                                                                      BAB 22
MAHU tak mahu Bazli kena bertugas, sudah hampir tiga minggu dia berada di hospital. Cuti yang diambilnya pun sudah habis. Takkanlah dia nak ambil cuti sebulan pula, kalau dia melanguk dekat sebelah Juwita sekalipun belum tentu dia sedar. Lagipula ibu dan ayah Juwita juga datang setiap hari. Baru semalam balutan di wajah Juwita ditanggalkan, nasib baiklah tidak ada parut sangat di wajahnya. Cuma beberapa jahitan di bahagian dahi sahaja. 

“Juwita, Bazli balik dulu tau..” bisik Bazli pada Juwita dan kemudiannya beredar. 

Selama hampir tiga minggu itu juga Bazli berdoa banyak-banyak agar Juwita lekas sembuh. Dan, tanpa dia sedar rasa kasih dan sayang pada Juiwta itu muncul semula. Bazli sebenarnya ada letak harapan agar  Juwita rasa terharu pada dirinya apabila mengetahui bahawa dia yang menjaga Juwita. Bazli tak tahu, kalau dulu hanya ada rasa benci dan benci pada bekas isterinya itu. Tapi, bila hampir setiap hari bertemu dan bercakap dengan Juwita dalam keadaan Juwita koma itu Bazli rasa dia masih sayangkan Juwita.

Sampai rumah, hanya Mira yang ada. Mira turun ke bawah menemui abangnya. Saja dia buat muka meluat dan tak puas hati serta jeling-jeling abangnya.

“Mira, janganlah macam ni, abang rasa bersalah pula..” Bazli memandangnya.
“Abang tu patut rasa bersalah pada diri abang, pergi hospital jaga orang yang tak mengharapkan kita buat apa. Jangan buang masa abanglah.”
“Tolong, tolonglah faham keadaan abang. Abang terpaksa buat semua tu. Takkanlah abang nak mengaku depan mak ayah dan pak cik mak cik yang abang dah bercerai pula dengan kak Juwita kamu tu. Nanti apa perasaan dorang, lagi-lagi dalam keadaan Kak Juwita macam tu.”

“Itu Mira faham. Tapi yang abang hari-hari siang malam pagi petang jaga orang koma buat apa. Dia tu bukan tanggungjawab abang lagi. Abang masih sayangkan kak Juwita kan? Abang masih harapkan perkahwinan abang kan? Jangan tipulah bang.. Mira boleh nampak.”
Bazli diam, dia pandang Mira. Mira pula malas mahu cakap balik-balik.
“Kalau abang kata ya macamana?” Bazli berkata tiba-tiba.
“Abang! Are you out of your mind?!” marah Mira.
“Terserah Mira nak kata apa, tapi abang memang sayangkan kak Juwita kamu tu lagi. Kamu pun tahu yang abang cintakan dia sejak kita kecil lagi.”
“Cuba abang buka pemikiran abang tu sikit. Apa yang abang kolot sangat ni. Ya ALLAH, sudahlah bang, suka hatilah, hak abang, tapi abang kena ingat, abang kena bagitau dekat semua pasal rumahtangga abang tu. Tak baik menipu.”
“Menipu untuk kebaikan macamana pula?” sengaja Bazli bergurau dan buat-buat muka innocent.

“Abang nampak tak senduk mak yang beli kat Thailand hari tu?” tanya Mira yang tak menjawab lagi soalan abangnya.
“Nampak.”
“Ha, kalau abang tak nak kena hempuk dengan senduk besar tu abang ulanglah apa yang abang cakap tu. Sudahlah! Mira nak naik atas, bercakap dengan abang ni macam orang tak ada perasaan!”

Gulp!
Bazli telan air liur. Garang juga adiknya, sampai dia confuse, dia ke abang atau adiknya itu yang kakak. Kemudiannya Bazli naik ke biliknya, lagi sejam dia ada flight duty ke Labuan, nasib baiklah pergi balik saja. Senang sikit dia melawat Juwita nanti.

*****************

KASIH sampai ke airport tepat jam 9 pagi. Dia kemudian ke pejabat penerbangan untuk report duty dan melihat senarai krew bertugas. Memang itulah selalunya yang FA (flight attendant) buat, saja nak tengok dengan siapa yang mereka ditugaskan. Kalau rakan senanglah berbual, kalau bukan rakan, redha sajalah dan jaga perangai masing-masing serta bertindak profesional. Sudah lumrahnya dalam kerja, bukan semuanya sempurna, bukan semuanya baik. Jadi, faham-faham sendiri sudah. Semasa sedang memeriksa crew list untuk penerbangan itu, Kasih ternampak nama Bazli.

‘Bazli dah on duty rupanya, nasib baiklah satu flight...’ gumam Kasih lega, lama juga dia tidak bertemu jejaka yang satu itu, banyak saja yang mahu ditanyakan Kasih.

“Hai Kasih, sihat hari ni?” sapa seorang rakan pramugari iaitu Diana.
“Alhamdulillah. Awak duty ke mana hari ni?” tanya Kasih.
“Ke Singapore. Awak still fly untuk domestik kan? Takpelah, tak lama nanti mesti duty yang international punya. Okeylah, I gerak dulu, bye..”
“Bye.” Kasih perhatikan Diana, dia sedikit senior daripadanya, dialah yang banyak mengajar selok belok mengenai penerbangan mereka selain Bazli. Iya, memang semuanya ada dekat Akademi dulu tapi praktikal dengan teori itu sangat berbeza.

Tidak mahu membuang masa, Kasih cari kelibat Bazli. Selalunya para krew yang bertugas harus sudah report duty 3 jam sebelum pesawat berlepas. Segera Kasih pandang ke kiri dan ke kanan. Dia nampak Bazli bercakap dengan pramugara yang lain. Bila semua pramugara itu pergi, Kasih terus mendekatinya.

“Hai Bazli, lama tak nampak awak. Awak sihat?” tanya Kasih sambil melempar senyuman.
 “Ya,” pendek jawapan Bazli dan seolah tak pedulikannya.

Kemudiannya Bazli bergerak ke balai pelepasan tanpa mempedulikannya. Cepat-cepat Kasih mengekori. Kemudiannya mereka memeriksa tiket para penumpang sebelum berlepas ke kapal terbang. Masa itupun Bazli hanya diam-diam sahaja. Kasih pun naik pelik, Bazli okey ke tak okey untuk bertugas. Kerana faham, Kasih tak mahu ganggu.

“Kasih, jom. Semua penumpang dah naik kan?” rakan pramugarinya menegur, Bazli pula sudah bergerak ke hadapan meninggalkannya.
“Okey.”
Kasih mengikut langkah rakan pramugari itu dan terus naik ke kapal.

“Selamat menaiki Sinar Airlines, anda sedang menaiki pesawat boeing 747 dari Kuala Lumpur menuju ke Wilayah Persekutuan Labuan. Penerbangan ini mengambil masa selama 2 jam 20 minit. Saya Bazli Mansor, ketua pramugara anda bersama anak-anak kapal mengucapkan selamat datang. Terima kasih kerana memilih Sinar Airlines sebagai penerbangan anda.”
Kasih dengar Bazli buat pengumuman, untuk penerbangan kali ni Bazli adalah ketua mereka. Lega juga Kasih kerana sepanjang bertugas bersamanya keadaan para krew sangat selesa.

Selepas membuat pengumumam, Bazli kembali semula ke bahagian belakang kapal terbang tempat para FA berkumpul untuk menyediakan makanan dan minumam untuk para penumpang. Sebenarnya semuanya sudah tersedia rapi, cuma tinggal untuk menghidangkannya sahaja. Usai tugasnya, Kasih duduk di salah satu tempat menunggu arahan dari Bazli. Bazli juga mengambil tempat duduk di sebelahnya. Kasih kira dia mahu ambil peluang itu sekali lagi untuk menyapa Bazli.

“Isteri awak macamana? Ada perkembangan?” tanya Kasih mesra dan perlahan.
“Okey,” sepatah saja Bazli jawab.
“Dia dah sedar dari koma ke?” tanya Kasih lagi.
Kali ini Bazli langsung tak nak jawab soalan Kasih. Tiba-tiba Kasih serba salah pula tanya soalan macam tu pada Bazli.

“Maaf, saya tak patut tanya macam tu.”
“Kasih, tolong bersedia, tak lama lagi makanan dan minuman nak dihidangkan.” Bazli memberi arahan, wajahnya agak sinis dan tegas seolah-olah dia dan Kasih tidak pernah mengenali.

Kasih turut arahan dan terus susun beberapa makanan ke dalam troli mereka. Hari itu dia hanya jadi tukang tolak dan tukang hidang sahaja. Sambil-sambil itu Kasih sempat berfikir, apa sebenarnya yang berlaku pada Bazli. Kenapa dia macam tegas semacam saja, lepas tu Kasih mula memikirkan kalau-kalau dia ada buat salah dengan Bazli, tapi tak ada pula.

“Cik, saya nak nasi lemak, bukan nasi ayam.. cik..” seorang penumpang memberitahu.
“Kasih,” seorang rakan pramugari menguisnya.
“Minta maaf Puan. Saya akan gantikan.”

Selepas itu Kasih fokus dengan tugasnya. Malas dia mahu pedulikan hal lain, nanti takut pula kalau ada penumpang yang menegurnya, sudahlah kerja itu remeh, nanti tercalar punya imej hanya kerana perangai tak alertnya.

Tepat jam 12 tengahari, penerbangan itu sampai ke Labuan. Oleh kerana penerbangan itu terus menerus, makanya mereka hanya menunggu penumpang di kapal terbang sahaja. Kasih dan beberapa krew sempat membersih dan mengemas tempat duduk penumpang. Iyalah, kena juga nampak kemas dan selesa. Paling Kasih anti bila ada yang menyelitkan botol minuman, kertas, tisu ke tempat duduk. Tapi apa boleh buat, sudah tugasnya. Selepas berehat hampir setengah jam, kapal terbang itu bergerak semula ke Kuala Lumpur. Kasih kira dalam jam 3.30 petang mereka akan sampai ke Lapangan Terbang Antara bangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semasa dalam waktu berehat tadi pun, Bazli hanya bercakap dengan pramugari senior. Malas jugalah Kasih mahu masuk campur atau mendekati mereka, iyalah, walaupun sama-sama FA tapi kasta kerja itu masih ada di mana-mana. Kasih tengok okey pula bila Bazli bercakap dengan FA yang lain, taklah sinis dan tegas macam dia tadi. Kasih naik pelik, dia ingat Bazli ada tekanan sebab isterinya belum sedar koma, rupanya tak. Makin Kasih fikir, dia malas mahu ambil tahu. Buat pening kepala saja, lagipun, sudah orang tu tak sudi, takkan nak terhegeh-hegeh pula. Sementara menunggu flight mereka selamat tiba ke KLIA, Kasih menyibukkan diri memerhati para penumpang dan tahap kebersihan. Setelah puas hati, dia ke belakang bersama para FA yang lain. Sehari suntuk perjalanan begitu bukanlah satu tugas yang mudah. Memang nampak penat di wajah masing-masing.

“Saya Kapten anda Muhammad Amar bin Saad, kita sedang berada dalam ketinggian 60,000 kaki dari aras laut, keadaan cuaca adalah baik, kita dijangka akan tiba di Kuala Lumpur dalam masa 20 minit..”

Kasih dengar pengumuman daripada kapten kapal terbang itu, macam angin lalu saja rasanya. Selepas itu Kasih dengar pengumuman itu dalam bahasa inggeris pula. Sempat dia tangkap nama Amar, sebelumnya dia belum pernah dengar nama pilot tersebut, tapi dia pun bukan kenal sangat dengan pilot lainnya. Mahu jenuh nak hafal nama mereka semua. Bila disebut Amar, dia teringat pula pada Amar, apalah yang sedang dibuatnya sekarang. Teringat juga Kasih bila dia tanyakan Amar tentang kerjanya, Amar hanya cakap kerja halal. Kasih agak sebab Amar kenal arwah abang Sofian, mesti dia kerja kerajaan juga.

Seperti jangkaan Kasih, tepat jam 3.30 petang mereka sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Lega rasanya bila sudah habis bertugas. Kasih dan krew FA yang lain menuju ke pejabat penerbangan untuk report duty. Sama seperti tadi, Bazli tak berjalan beriringan dengannya. Biarlah, Kasih tak mahu ambil kisah pun. Usai semuanya, Kasih menuju ke hentian teksi, kebetulan sudah ramai penumpang waktu itu. Kasih beratur menunggu, tapi lama kelamaan penumpang makin ramai. Kasih kemudiannya ke satu tempat tidak berjauhan dari hentian teksi itu.

Pon! Pon!
Kasih terkejut apabila melihat sebuah kereta, sebelumnya dia tidak pernah nampak kereta tersebut, kereta volvo tu, gila lawa. Kasih agak mungkin Bazli barangkali, iyalah, Bazli selalu tukar-tukar kereta, lega sedikit hati Kasih, akhirnya Bazli mahu juga bercakap dengannya. Mungkin ada sesuatu yang mahu dibicarakannya. Berpelangi sikit hati Kasih waktu itu. Tiba-tiba cermin kereta diturunkan. Kasih nampak seorang lelaki berpakaian pilot dan bercermin mata hitam, Kasih jeling dan tunduk lihat siapa lelaki tersebut. Sah-sahlah bukan Bazli.

“Kasih, tak nak naik ke?” tanya lelaki tersebut.
Kasih macam kenal suara tersebut, dia pandang lagi sekali lelaki itu. Kemudiannya lelaki itu buka cermin mata hitamnya.

“Amar?!” terkejut Kasih, rasa macam mahu pengsan.
“Ya, saya ni.”
“Saya dah beli tiket teksi ni.”
“Tak apalah, saya hantar.”

Segera Amar keluar daripada kereta dan bukakan pintu untuknya.
“Mari beg awak?” Amar ambil beg Kasih dan letak dibelakang keretanya.
“Awak tunggu apalagi, masuklah.”

Kasih masuk ke dalam. Masih dalam keadaan jantungnya dup dap, dup dap. Antara realiti dan fantasi dia tak tahu, dia tak dapat menyandarkan badan ke kerusi kereta itu. Masih belum benar-benar percaya yang orang berpakaian pilot itu adalah Amar.

“Kasih, kenapa ni? Ni memang sayalah Amar.”
“Awak kerja pilot ke? Jadi, Kapten Amar bin Saad dalam penerbangan ke Labuan pergi balik tu awak lah?” tanya Kasih lagi.
“Haah saya. Dulu saya dengan airlines lain, baru dua hari bertugas dekat sini. Kenapa? Tak percaya?” tanya Amar.
“Kasih ingatkan Amar kerja government macam abang Sofian.”
“Tak baik ingat orang yang dah takde.”
“Iyalah. Awak ni kan, selalu dengan kejutan. Hari tu saya tanya kerja dekat mana patutlah tak jawab.”
“Ala, saya kan suka awak..”
“Apa awak cakap tadi?”
“Dengar-dengarlah...” Amar senyum dan paling wajahnya ke kanan, malulah tu.

Kasih pula buat-buat tenang, ternyata lelaki bernama Amar itu ada kerjaya hebat rupanya. Dia ingat lelaki biasa saja.

“Lepas ni ada nak gi mana-mana tak?” tanya Amar.
“Takde pula.”
“Awak tak takut ke ikut saya ni?” tanya Amar lagi.
“Apa maksud awak? Awak jangan nak nakal-nakal pula.” Kasih bimbang.
“Tak adalah. Saya kan kena jaga awak. Takkanlah saya nak apa-apakan awak pula.”
“Manalah tahu.”
“Ish awak ni. Takpe, saya hantar awak balik rumahlah ya, lagipun kita sama-sama penat.”

Kemudiannya Amar pasang radio, kebetulan pula lagu yang disukai Kasih tersiar. Lagu Aishiteru tu.. Kasih menyanyi kecil, takkanlah nak Amar dengar suara sumbangnya pula kan. Malu beb!
“Walau raga kita telah terpisah jauh.. namun hati kita selalu dekat, bila kau rindu pejamkan matamu dan rasakan.. ai, aishiteruuuu...”

“Kasih suka lagu ni ya?” tanya Amar tiba-tiba.
Aish! Dia dengar ke suara sumbang aku, tebak hati Kasih. Boleh tertelan air liur ni.

“Bolehlah.. dulu suka tengok drama dia kat astro tu. Tak pernah miss.”
“Amboi, suka sangat dengan sinetron Indon kan.”
“Takdelah, dah takde benda nak tengok masa tu..”

Makin lama, Amar pandang Kasih beberapa kali. Kasih perasaan, dah kenapa pula mamat ni, nanti accident payah mereka.
“Amar, cocentrate driving tu..”
“Err.. sorry, payah kalau ada gadis cantik dalam kereta. Selama ni kereta ni aje yang cantik..”
“Hmm.. awak ni ada-adalah. Jangan nak buat lawak awak tu. Kalau macam ni awak bawa kapal terbang bahaya tau.”
“Ala, drive kapal terbang lagi senang daripada saya drive sekarang ni.”
“Ish, malas nak cakap dengan awak.”
“Iyalah, ngah drive hati-hatilah ni.”

Amar senyum-senyum saja sepanjang perjalanan tersebut. Iyalah, sebelumnya belum pernah dia rasa gembira macam tu. Gadis bernama Kasih itu merubah persepsinya tentang banyak hal. Lagipula dia suka sikap Kasih yang tegas itu, selain tu mestilah sebab Kasih cantik orangnya. Gila kalau lelaki tak suka perempuan cantik.

“Thanks...” Kasih berterima kasih sebaik dia menurunkan begnya.
“Tak nak ajak naik ke?” tanya Amar.
“Awak nampak tak high heel saya ni.”
“Nampak, nampak.. eh! Esok nak tak saya jemput awak. Esok saya free, awak pun free kan?”
“Err..”
“Kira jadilah tu, bye..”
“Err..” belum sempat Kasih cakap apa-apa, Amar sudah tutup tingkap, Kasih lambai tangan bila Amar lambai tangannya.
“Macam-macamlah Amar ni tapi sweet juga dia dalam suit pilot tu, eh! Aku ni dah kenapa?” Kasih geleng kepala, senyum sendiri dan terus naik menuju ke apartmentnya.

Kring! Kring!
Telefon bimbit Bazli berdering semasa dia sedang memandu.
“Helo Encik Bazli Mansor kan? Kami dari HKL.”
“Iya, ya saya Bazli Mansor, ada apa ya?” tanya Bazli resah.
“Isteri encik Juwita Sallehudin dah sedar daripada koma. Tapi kami minta encik datang segera ke hospital, ada beberapa perkara yang doktor nak cakapkan.”
“Baik nurse, terima kasih.”
Bazli matikan telefon bimbitnya. Hatinya rasa lega sangat, segera dia memandu ke hospital.
“Alhamdulillah.. terima kasih Ya ALLAH...” 

bersambung....

Friday 28 December 2012

E-novel ~Bunga Terakhir (BAB 21)



BAB 21
Wop!
Dahlia rasa mahu termuntah, segera dia terkocoh-kocoh menuju ke bilik air. Adam yang sedang menonton televisyen selepas mereka makan malam pelik melihat perubahan Dahlia, selalu muntah-muntah. Lepas itu pula pengambilan ubatnya juga agak banyak tapi tidak pula dia lihat Dahlia sakit ke apa. Selalunya Dahlia akan berterus terang apabila dia ada masalah ke apa. Beberapa minit kemudian Dahlia keluar dan terus ke dapur. Adam intip pergerakan Dahlia.

“Sayang tak apa-apa ke ni? Asyik muntah je, ada apa-apa yang abang tak tahu ke?” tanya Adam.
“Takde apa-apalah. Tapi kalau abang care sangat dengan sayang pasti abang tahu.” Dahlia jeling-jeling ke arah Adam dengan senyuman.
“Sayang! Dua bulan lepas balik dari rumah mak sayang tak cakap apa-apa pun.” Adam tahu apa yang Dahlia mahu sampaikan, jawapan Dahlia buat dia terkejut.
“Saja sayang tak cakap nak tengok abang alert ke tak kan?” Dahlia memandang suaminya yang macam tak percaya.
“So, dah berapa bulan? Ya ALLAH... alhamdulillah, abang akan jadi ayah ya. Amiiinn.. terima kasih sayang.. abang ingatkan sayang sakit ke apa selalu muntah-muntah dan ambil ubat-ubatan. Lepas 5 tahun kita kahwin,  Alhamdulillah.. Alhamdulillah..” Adam menuju ke arah Dahlia, dia usap perutnya.
“Dah 4 bulan bang, tapi tak berapa nampak sangat sebab Dahlia pun kurus aje..”
“Orang mengandung ni kuat makan, ni abang nampak sepinggan nasi payah nak habis, manalah tak kurus. Lain kali abang selia sayang makan.”
“Abang ni! Nakal!”
Dahlia ketawa dan peluk Adam erat. Adam gembira sangat, gembira kerana dia tidak mandul seperti sangkaannya malah gembira bakal ada anak sendiri bersama isteri yang dicintainya.  
“Jadi ubat banyak-banyak ni untuk apa?” tanya Adam dan cuba sentuh ubat-ubatan Dahlia di atas meja dapur.
“Oh tak, ini vitamin untuk kandungan. Ini kan first time, jadi Dahlia kenalah jaga betul-betul..” Dahlia menjawab dan cepat-cepat menyimpan semua ubatan tersebut.
“Lepas ni sayang janganlah buat kerja berat-berat pula..”
“Ala, kerja berat apanya. Cuci baju pakai mesin, lantai pakai vakum, masak tu kegemaran Dahlia, taklah berat sangat rasanya..”
“Maksud abang angkat pasu sayang yang depan rumah tu. Bukan abang tak tahu sayang tu suka sangat tanam bunga, angkat pasu sana, angkat pasu sini...”
“Yess Boss! Dahlah bang, jom, dah lewat ni.”
“Jom!” Adam tiba-tiba dukung isterinya.
“Abang!”
“Ala, saja nak angkat sayang naik atas dengan baby kita..”
Dahlia senyum dan geleng kepala, bukan dia tidak tahu dengan perangai suaminya itu, asal ada perkara gembira mulalah excited nak gembirakan dia. Dahlia pandang Adam, sungguh! Masa itu Dahlia mahu pandang wajah Adam puas-puas. Dahlia tak tahu kalau selepas 5 bulan nanti dia dapat tengok Adam lagi, suami yang dicintai, disayangi dengan sepenuh jiwa raganya itu, air matanya menitis.

“Sayang nangis?” tanya Adam dan letakkan Dahlia di katil.
“Ini air mata gembiralah bang..”
“Dahlah, jangan nangis-nangis, nanti baby pun sedih. Tidurlah..” Adam membelai rambut isterinya perlahan.
“Abang, kalau sesuatu berlaku pada Dahlia, abang janji akan jaga anak kita elok-elok ya?” kata Dahlia tiba-tiba.
“Kenapa ni Dahlia? Tak baik cakap macam tu. Jangan fikirkan bukan-bukan.. kita akan bersama sampai akhir hayat kita Insya ALLAH...”

‘Tapi Dahlia takkan bersama abang dan  besar kemungkinan tak dapat lihat baby dalam perut kita ni menangis bang..’ gumam Dahlia seorang diri.

Tik.
Adam matikan lampu di kamar mereka. Dahlia masih lagi membuka matanya memikirkan hari-hari yang mendatang. Tapi baginya dia tidak kesal sekiranya apa yang bakal terjadi nanti akan terjadi kerana sekurang-kurangnya dia mampu memberikan zuriat pada Adam. Dahlia tutup matanya rapat-rapat dan terus terlena..

Esoknya awal Dahlia bangun menyiapkan sarapan untuk Adam dan Aiman.
“Selamat pagi sayang, selamat pagi Aiman, selamat pagi baby kecik..” Adam menyapa sebaik masuk ke dalam dapur dan duduk di meja makan.
“Baby kecik tu apa papa?” tanya Aiman yang sedang melukis sesuatu di kertas.
“Ha, Aiman bakal dapat adik.. adik ada dalam ni..” Adam tunjuk dan usap perut Dahlia.
“Adik tak lemas ke dalam tu? Macamana adik ada dalam tu pulak? Adik datang dari mana papa?” tanya Aiman mahukan jawapan.
Adam dan Dahlia berpandangan dan senyum sesama sendiri. Kemudiannya Adam mengambil tempat duduk.
“Papa tak jawab lagi soalan Aiman, kenapa adik ada dalam tu.”
Dahlia pandang Adam, Adam jungkit bahu tak tahu nak cakap apa. Takkan nak bagitau bab-bab persenyawaan pula. Adam cuba fikir cara logik macamana nak terangkan pada Aiman.
“Adik ada dalam tu sebab dia nak berehat, lagi 5 bulan dia keluarlah main dengan Aiman.”
“Lamanya papa.. tapi takpelah, Aiman tunggu..”

Fuh! Nasib baiklah Aiman tak bertanya lagi, jenuh rasanya menjawab bukan-bukan padanya. Tapi Adam dan Dahlia yakin, Aiman pasti akan bertanya lagi, biasalah budak-budak, sifat ingin tahu itu sangat besar dalam diri mereka selagi tidak mendapat jawapan yang memuaskan hati mereka, selagi itulah mereka akan bertanya.

“Makanlah bang, nasi goreng dengan telur dadar je.”
“Sayang pun makanlah sekali.”
“Iya. Ha, ni nanti bagi dekat Wani tau.” Dahlia berikan satu plastik beg yang berisi kontena.
“Ni kek batik dengan kek cheese awak tu ya?”
“Haah, Wani kan suka makan kek ni. Saja sayang buatkan lebih semalam. Nanti abang makanlah dengan dia. Abang dengan dia okey kan?” tanya Dahlia pula.
“Okey, okey je.”
“Abang, Wani tu pun isteri abang tau. Malam nanti tidurlah rumah dia ya, dua bulan abang kahwin dengan dia, tak pernah pun abang ke sana,” pinta Dahlia.
“Err, abang dah lambat ni, ada meeting pagi ni dengan klien dari Indonesia. Abang gerak dulu tau.. assalamualaikum.” Adam meminta diri, Dahlia menyalam dan mencium tangan suaminya.
“Papa!” Aiman bangun dan memeluk ayahnya.
“Okey, bye Aiman, bye mama, bye baby kecik..” Adam sempat usap perut Dahlia.

Dahlia pandang Adam, selalu mengelak bila dia menyuruhnya bermalam di rumah Wani. Itupun bukan pertama kali Dahlia menyuruhnya, sudah banyak kali. Dahlia pun tak tahu apa sebenarnya dalam fikiran Adam, patutnya dia anggap Wani itu isterinya juga dan sebenarnya itulah yang Dahlia mahukan sangat. Tapi itulah, rasa kasih itu bukan boleh dipaksa-paksa. Namun Dahlia sering berdoa bermohon agar hati suaminya itu dilembutkan untuk menerima Wani seadanya.

************************

Kring! Kring!
Telefon rumah Dahlia berbunyi sebaik dia masuk ke dalam rumah selepas menghantar Aiman ke Taska. Segera dia angkat.

“Helo.”
“Helo Dahlia. Sihat ke?”
“Mama, Alhamdulillah ma, Dahlia baik-baik saja, semalam Dahlia dah maklumkan abang Adam yang Dahlia pregnant.”
“Baguslah. Mama tumpang gembira.”
“Mama, hari ni Dahlia jumpa doktor lagi.”
“Kamu sabar ya nak. Cuba dengar dulu pendapat doktor tu.”
“Kalau sudah diputuskan macam ni mak, takkan dapat ubah lagi.. sekarang Dahlia pasrah saja. Lagipun rawatan tu bahaya untuk kandungan Dahlia.”
“Tak baik mengalah sebelum waktunya Dahlia. Dahlia kena kuat untuk Adam dan Aiman serta orang yang perlukan Dahlia.”
“Insya ALLAH ma, Insya ALLAH..”
“Mama doakan kamu sihat selalu nak. Kamu sabar, ada hikmah atas semua ni. Jaga baby dalam perut tu betul-betul.”
“Insya ALLAH ma, baby nilah kekuatan Dahlia sekarang.”
“Alhamdulillah. Mama letak phone ya. Nanti kalau ada apa-apa call mama. Assalamaualaikum.”
“Waalaikumsalam.”

Dahlia letakkan telefon rumahnya. Lega rasanya dapat meluahkan perasaan pada ibunya. Seolah-olah mendapat satu kekuatan luar biasa, Dahlia pandang gambar perkahwinannya dan Adam, dia janji dengan dirinya, untuk keluarganya, dia harus kuat!

TEPAT jam 11 pagi, Dahlia sampai ke klinik untuk satu temujanji dengan doktor. Berdebar juga rasanya apabila masuk ke dalam klinik dengan air cond yang sejuk dan bau ubat-ubatan yang memeningkan kepala. Selepas menyerahkan IC dan kad temujanji kepada jururawat di kaunter, Dahlia duduk bersama beberapa pesakit lain.

“Puan Dahlia...”
Nama Dahlia dipanggil, sekeping nombor diberikan untuk salah satu bilik. Dahlia beralih tempat duduk lagi. Tapi tak sampai 2 minit nombornya dipanggil, segera dia masuk ke dalam berjumpa seorang doktor.

“Selamat pagi Puan, sila..” doktor itu menjemput Dahlia duduk.
“Terima kasih.”

Seminit doktor itu memeriksa fail perubatan Dahlia. Doktor bernama Shahrol seperti dalam tanda namanya itu sedang menulis sesuatu.

“Puan, kami janji takkan bahayakan bayi dalam kandungan Puan. Puan perlu buat rawatan yang kami nak berikan ni secepat mungkin...”
“Tapi, saya nak baby ni benar-benar selamat jika saya go thru dengan rawatan tu,” pinta Dahlia, wajahnya serius.
“Puan, dalam masa 2 bulan dari sekarang, Puan takkan dapat berjalan lagi, kami takut Puan takkan mampu untuk terima rawatan kami lagi... Puan kena fikirkan diri Puan.”
“Saya lebih rela tidak berjalan asalkan saya dapat lahirkan bayi saya!” tegas Dahlia dengan pendiriannya.
“Puan, kami akan cuba yang terbaik untuk selamatkan Puan dan bayi Puan.”
“Saya tak nak dengar apapun. Biarlah saya ambil ubat-ubatan saja. Saya tak nak jalani sebarang rawatan sebab rawatan tu akan bagi kesan pada baby.”
“Tapi Puan, Puan dalam bahaya.”
“Bukan manusia yang tentukan hidup matinya manusia lain, selagi masih belum tersurat untuk mati, saya akan terus hidup.”

Doktor itu terdiam, dia tahu, caranya itu terlalu memaksa, tapi sudah banyak kali pujukannya menemui jalan buntu. Dahlia bangun, kemudian beredar.. dia tahu setiap butir dan setiap patah perkataan yang diberitahu doktor itu seratus peratus benar. Tapi, untuk menjalani rawatan dan mengambil risiko membahayakan kandungannya dia tidak sanggup. Biar dia saja yang sakit bukan bayinya itu. Langkah kaki Dahlia lemah, tapi harus tetap melangkah dan melangkah, makin lama langkahannnya itu makin kuat dan tinggi azamnya untuk terus hidup demi bayinya itu, sekiranya hidupnya ditentukan hanya tinggal 1 bulan sekalipun, Dahlia berserah pada tuhan kerana tuhan lebih tahu, hanya saja yang dia mahu, biarlah kandungannya itu lahir dahulu, jika tuhan mahu cabut nyawanya selepas itu dia redha.... 

bersambung.... :(